Belanjawan 2023 progresif ke arah pembangunan Malaysia Madani

Bernama
Februari 24, 2023 21:40 MYT
Anggota Jemaah Menteri berharap segala cadangan dan aspirasi berhubung pembangunan yang dibentang dapat dilaksana secara total dan telus dengan kerjasama semua kementerian dan agensi serta pihak yang berkaitan. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan memperkasakan kesejahteraan rakyat dalam menghadapi cabaran ekonomi ketika ini diterjemah menerusi pelbagai inisiatif yang dibentangkan dalam Belanjawan 2023 yang turut menjadi teras penting dalam membangunkan Malaysia Madani.
Anggota Jemaah Menteri berharap segala cadangan dan aspirasi berhubung pembangunan yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat, dapat dilaksanakan secara total dan telus dengan kerjasama semua kementerian dan agensi serta pihak yang berkaitan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, dalam kenyataan, berkata Belanjawan 2023 dilihat memberi tumpuan dalam memperkasakan kesejahteraan kanak-kanak dan kerjaya wanita.
"Bagi pihak kementerian, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas sokongan Perdana Menteri dalam mempertimbangkan cadangan kami untuk mewujudkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak.
"Dengan pengumuman ini, kementerian bersedia untuk bekerjasama rapat dengan agensi-agensi pusat seperti Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam dalam memperincikan jabatan ini secepat mungkin," katanya.
IKUTI INTI PATI BELANJAWAN 2023 DI SINI
KALKULATOR BELANJAWAN 2023
Di samping itu, katanya kementeriannya turut berbesar hati atas pengumuman penubuhan sebuah unit khas di bawah Bahagian D11, Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak dan bersedia membantu pihak polis demi keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.
Pihaknya turut mengalu-alukan inisiatif di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk menggalakkan wanita yang sebelum ini terpaksa berhenti kerja selepas tempoh cuti bersalin untuk menjaga anak-anak.
Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pembentangan Belanjawan 2023 itu diharapkan dapat mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pilihan pelaburan dan perdagangan dan pintu masuk ke rantau Asia.
"Insya-Allah, saya dan seluruh pasukan MITI akan berusaha keras bagi memastikan segala agenda dan perancangan yang direncana ini dilaksanakan sebaiknya," katanya.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pula, berkata kementeriannya akan mengimbangi tumpuan di antara penstrukturan ekonomi dengan keperluan rakyat berhubung kos sara hidup dan gaji yang berpadanan menerusi peruntukan sebanyak RM750 juta untuk Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
Katanya, sektor pertanian yang menjadi sebahagian daripada inisiatif tersebut, perlu menjadi tunjang penting kepada ekonomi negara bersama sektor strategik yang lain pada masa akan datang dan bagi tujuan itu sebanyak 323.73 hektar (800 ekar) tanah milik Kerajaan Persekutuan akan dimanfaatkan oleh golongan B40 dan miskin tegar.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang pula memaklumkan Belanjawan 2023 itu adalah bukti komitmen kerajaan dalam memupuk perpaduan dan meraikan kepelbagaian dalam negara.
"Sejumlah RM50 juta disediakan bagi menggerakkan program 'Kembara Perpaduan Malaysia MADANI' dan 'Ini Warisan Kita'. Kerajaan juga bersetuju menyediakan RM20 juta untuk melaksanakan program gotong-royong di semua sekolah seluruh negara.
"Selain itu, RM50 juta turut disediakan bagi penyelenggaraan dan baik pulih rumah ibadat bukan Islam seluruh negara," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Dalam pada itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri susulan pembentangan Belanjawan 2023 yang dilihat cukup progresif sekali gus menjadi teras kepada pembaharuan yang ketara.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2023 #Nancy Shukri #Anwar Ibrahim #Nik Nazmi