KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), khusus untuk membantu golongan B40.

Ia melibatkan 8.7 juta penerima dengan peruntukan disediakan hampir 8 bilion ringgit.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, menerusi inisiatif berkenaan, isi rumah pendapatan kurang 2,500 ringgit, layak terima sumbangan sehingga 2,500 ringgit bergantung kepada bilangan anak.


"Kerajaan juga akan memberi sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih. Sumbangan ini akan disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan juga secara baucar untuk barangan makanan asas bernilai 600 ringgit kepada mereka.

"Ini bermakna, keluarga dalam kumpulan miskin tegar layak terima sumbangan sehingga maksimum 3,100 ringgit," katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu juga mengumumkan 2 juta orang belia berusia antara 18 hingga 20 tahun, akan ditawarkan kredit e-Tunai Belia Rahmah berjumlah RM200 dengan peruntukan RM400 juta.