Belanjawan 2024: Kerajaan peruntuk RM5 juta, tambah baik unit anjing K9 - Anwar

Ridauddin Daud
Oktober 13, 2023 10:41 MYT
Blake terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa insiden tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada Disember tahun lepas. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menambah baik kemudahan dan rawatan bagi anjing K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menurutnya, kerajaan juga akan menambah bilangan anjing pengesan untuk bomba, polis dan kastam.
Tambah beliau, anjing pengesan seperti Blake yang mati baru-baru ini telah banyak menabur bakti kepada negara.
"Kita semua mesti mengingati Blake, anggota Unit Pengesan K9 Bomba yang telah meninggalkan kita setelah menabur bakti untuk negara.
"Kerajaan akan menambah baik kemudahan dan rawatan perubatan bagi anjing K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat.
"Kerajaan juga menambah bilangan anjing pengesan K9 untuk Bomba, Polis dan Kastam dengan peruntukan RM5 juta," katanya.
Pada 19 September lepas, anjing pengesan milik JBPM, Blake terpaksa ditidurkan (euthanized) pada jam 4.38 petang selepas dikesan menghidapi barah.
Blake yang juga dikenali antara hero terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa insiden tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada Disember tahun lepas.
Haiwan itu didiagnosis menghidap barah limfoma tahap empat pada 15 Ogos lalu.
#Belanjawan 2024 #Anwar Ibrahim #Blake #unit pengesan K9