KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu berharap sebahagian daripada peruntukan RM350 juta untuk merancakkan aktiviti promosi dan pelancongan negara seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 turut digunakan bagi memperindah Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata lapangan terbang itu memerlukan penambahbaikan dan promosi memandangkan Terengganu menyasarkan menarik lebih ramai pelancong dari Timur Tengah dan India pada tahun hadapan.

"Kalau dilihat, bilangan penerbangan ke Terengganu puratanya hanya 10 penerbangan sehari, tidak seperti di negeri-negeri lain... Terengganu juga mengharapkan geran padanan penerbangan carter dalam meningkatkan ketersampaian penerbangan ke sini.

"Segala-galanya ada di Terengganu... (hal ini) selari dengan hasrat Tahun Melawat Malaysia yang ditetapkan semula pada 2026 dengan sasaran ketibaan pelancong seramai 26.1 juta," katanya kepada Bernama hari ini.

Menawarkan Terengganu sebagai pencetus pelancongan utama pelancong dari dalam dan luar negara, Razali turut menyambut baik perincian peruntukan RM350 juta itu yang sebahagiannya bakal disalurkan kepada Pusat Pelancongan Islam (ITC) dan negeri itu bersedia menawarkan pelancongan patuh syariah kepada pengunjung.

"Di Taman Tamadun Islam (TTI) misalnya ada beberapa perancangan dibuat antaranya dua bangunan kosong di situ kita nak jadikan galeri mempamerkan artifak (dari) dalam kapal yang berusia hampir 600 tahun yang tenggelam di perairan negeri.

"Begitu juga dengan monumen-monumen sedia ada di TTI, ia perlu suntikan daripada kerajaan pusat untuk kerja baik pulih untuk tarik lebih ramai pelancong ke situ," katanya.

Pemain industri perhotelan di sini turut menyambut baik hasrat murni Kerajaan Perpaduan dalam menggalakkan lagi sektor pelancongan seiring dengan keindahan alam semula jadi Terengganu.

Pengurus Besar Hotel Permai Noralizan Abd Rahman berkata beliau percaya sekiranya Terengganu menerima manfaat yang sewajarnya daripada peruntukan itu, ia secara langsung bakal memberi kelegaan kepada industri perhotelan negeri yang masih berusaha untuk bangkit daripada kesan pandemik COVID-19.

"Kebanyakan hotel di sini masih mencari momentum untuk bertahan dan saya tahu hotel-hotel bajet (pengusaha) misalnya masih berusaha keras untuk cari makan. Dengan adanya peruntukan yang fokus kepada promosi dan aktiviti pelancongan, saya yakin ia mampu membawa lebih ramai pelancong ke sini dan kami mungkin boleh menarik nafas lega.

"Keindahan Terengganu tidak boleh dinafikan lagi, jadi kerajaan seharusnya ambil peluang itu untuk bantu rakyat tempatan, pengusaha-pengusaha hotel serta pada masa sama tingkatkan lagi ekonomi negara," katanya.

Terdahulu, Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI bertemakan 'Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat' mengumumkan peruntukan sejumlah RM350 juta untuk merancakkan aktiviti promosi dan pelancongan merangkumi Tahun Melawat Malaysia 2026 dan pemuliharaan kawasan, bangunan dan tapak tumpuan pelancong.

-- BERNAMA