KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mengumumkan tiga tumpuan utama yang diberikan kerajaan menerusi Belanjawan 2024.

Pertama ialah memastikan tatakelola terbaik, demi ketangkasan perkhidmatan, dan kedua ialah penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan, manakala yang ketiga adalah meningkatkan darjat hidup rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan turut memperkenalkan 12 ikhtiar bagi menjayakan hasrat untuk mengangkat darjat ekonomi negara.

Antaranya komitmen terhadap reformasi fiskal, menjayakan reformasi perundangan, mengutamakan perkhidmatan dan projek rakyat, merombak struktur ekonomi dan memperkasa perusahaan mikro. kecil dan sederhana (PMKS).

Selain itu, kerajaan juga menggariskan beberapa ikhtiar lain, seperti menjayakan agenda mampan dan peralihan tenaga, melindungi kebajikan rakyat, menyediakan kemudahan asas terbaik, memperkukuh perpaduan dan keselamatan, serta menjamin kesejahteraan penjawat awam.

“Belanjawan 2024 yang saya ungkap sebagai Belanjawan MADANI Kedua menghamparkan tekad dan kesungguhan Kerajaan Perpaduan dalam memaknai sebuah cetusan nurani bagi mengangkat darjat harakat ekonomi negara dan rakyat,” jelas Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat petang tadi.

Ahli Parlimen Tambun itu juga memberi bayangan bahawa Malaysia mempunyai kesempatan yang boleh dimanfaat untuk melakukan reformasi menyeluruh terhadap struktur ekonomi bagi mengembali kedudukan negara sebagai jaguh Asia.