Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
MALAYSIA

Belanjawan 2026: Kelantan harap projek infrastruktur keutamaan rakyat dilaksana ikut jadual

Bernama 11/10/2025 | 14:45 MYT
Nassuruddin berkata antara projek baharu yang menjadi tumpuan ialah naik taraf jalan sedia ada kepada jalan berkembar empat lorong di Rantau Panjang serta naik taraf landasan kereta api Pasir Mas-Rantau Panjang. - Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berharap pelaksanaan projek-projek infrastruktur utama yang menjadi keutamaan rakyat dapat dijalankan mengikut jadual seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2026 semalam.

Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata antara projek baharu yang menjadi tumpuan ialah naik taraf jalan sedia ada kepada jalan berkembar empat lorong di Rantau Panjang serta naik taraf landasan kereta api Pasir Mas-Rantau Panjang.

Selain itu, beberapa projek penting lain turut diumumkan termasuk naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, projek jalan utama Kubang Kerian-Bachok dan Pasir Mas-Salor, Sistem Saliran Bandar Baru Tunjong, projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Mukim Tiong dan Mukim Jelutong serta Sistem Bekalan Air Luar Bandar di Pasir Mas.

"Turut memberi manfaat kepada negeri ini ialah projek Loji Rawatan Air Machang, pelaksanaan Program Non-Revenue Water dan pelbagai inisiatif lain yang akan memacu kemakmuran rakyat.

"Kerajaan negeri turut berharap agar lebih banyak projek baharu dalam sektor pertanian dan pelancongan diberi perhatian di bawah pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13, memandangkan kedua-dua sektor itu mempunyai potensi besar untuk menjana pertumbuhan ekonomi negeri secara mampan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata projek-projek utama seperti pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai dan projek tebatan banjir diharap dapat dilaksanakan dengan teratur serta mengikut jadual, termasuk projek yang telah diluluskan tetapi masih belum dimulakan dalam RMK terdahulu.

"Kerajaan negeri amat mengalu-alukan peruntukan yang diumumkan kepada Kelantan bagi memperkukuh kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

"Kejayaan pelaksanaan projek-projek ini secara cekap dan berkesan bukan sahaja akan memperkukuh asas pembangunan negeri, malah turut memberi kesan langsung terhadap peningkatan taraf hidup rakyat," katanya.

-- BERNAMA

#landasan kereta api #bekalan air #Belanjawan 2026 #taraf hidup rakyat