Belanjawan 2026 lulus peringkat dasar, peruntukan JPM, dua kementerian lulus peringkat jawatankuasa

RUU Perbekalan 2026 diluluskan dengan 120 undi sokongan; 14 kementerian selesai menjawab perbahasan minggu ini. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat minggu kelima menyaksikan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 diluluskan pada peringkat dasar selepas dibahaskan bermula 13 Okt lepas.
Ringkasan AI
- Belanjawan 2026 Diluluskan di Peringkat Dasar: RUU Perbekalan 2026 diluluskan dengan 120 undi sokongan; 14 kementerian selesai menjawab perbahasan minggu ini.
- Subsidi RON95 Dinaikkan untuk Pemandu e-Panggilan: Had kelayakan subsidi dinaikkan kepada 800 liter sebulan di bawah BUDI95; teksi lapangan terbang turut layak menerima subsidi.
- Isu Perjanjian ART dan Ketegangan Politik: Anwar pertahan Perjanjian ART tidak langgar Perlembagaan; persidangan turut diwarnai sindiran antara blok kerajaan dan pembangkang.
Persidangan minggu ini turut menyaksikan anggaran perbelanjaan mengurus bagi Jabatan Perdana Menteri dan dua kementerian iaitu Kementerian Kewangan dan Kementerian Luar dalam Belanjawan 2026 diluluskan pada peringkat jawatankuasa.
Sesi perbahasan dan penggulungan Belanjawan 2026 peringkat jawatankuasa dijadual berlangsung selama 14 hari bermula 5 hingga 27 Nov.
Turut menjadi tumpuan pada persidangan minggu ini ialah pengumuman Perdana Menteri berhubung kenaikan had kelayakan subsidi RON95 di bawah Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) sehingga 800 liter sebulan untuk pemandu e-panggilan yang layak, tertakluk syarat perjalanan ditetapkan.
Anwar yang mengumumkan perkara itu ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Selasa berkata keputusan itu dibuat, setelah kerajaan meneliti rayuan pemandu e-panggilan berdasarkan kegunaan sebenar.
Selain itu, kerajaan turut memutuskan bahawa teksi lapangan terbang kini layak menerima RON95 bersubsidi di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
Minggu ini juga turut menyaksikan Ahli Parlimen sekali lagi membangkitkan mengenai isu Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS), yang didakwa kononnya menyerahkan kedaulatan negara ini kepada kuasa besar.
Menjelaskan perkara itu, Anwar berkata Perjanjian ART tidak mengandungi sebarang peruntukan yang bercanggah dengan semangat atau peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan, malah Jabatan Peguam Negara mempunyai kedudukan penting dalam perjanjian itu bagi memastikan ia selaras dengan undang-undang Malaysia.
Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa perjanjian yang ditandatangani itu, bukan sahaja mempertahankan kepentingan bumiputera, malah sebarang tindakan penguatkuasaan, tidak sesekali boleh membelakangkan undang-undang domestik di Malaysia.
Dalam pada itu, babak sindir-menyindir wakil rakyat pembangkang dengan blok kerajaan turut mewarnai persidangan minggu ini, apabila Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan malas untuk menjawab soalan pembangkang susulan tindakan mereka yang tidak menyokong Belanjawan 2026 di peringkat dasar.
Reaksi itu diberikan semasa pertanyaan soalan tambahan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) mengenai perancangan kementerian menaik taraf jalan termasuk cadangan penyambungan lebuh raya dari Senai-Desaru ke Mersing serta Lebuhraya Pantai Timur 4 (LPT4) dari Pekan ke Mersing, selain status terkini projek bypass Mersing.
"Mersing ini pembangkang, minta bukan main banyak lagi. Semalam (Selasa, 4 Nov) pembangkang tak menyokong pun belanjawan, tetapi minta berjela-jela. Kenapa tak sokong semalam, lepas itu minta itu, ini... malas saya hendak jawab," kata Ahmad.
Dewan Rakyat sepanjang minggu ini juga menyaksikan RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama, bertujuan memperkukuh sistem perlindungan sosial negara dan memperluas perkhidmatan pekerjaan kepada lebih ramai rakyat.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

