23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
MALAYSIA

Belanjawan 2026: MMA cadangkan mansuh subsidi gula, perluas cukai minuman manis

Astro Awani 05/10/2025 | 13:12 MYT
Presidennya MMA Datuk Dr Thirunaukarasu Rajoo berkata langkah ini bukan sahaja mengurangkan pengambilan yang tidak sihat, malah menyalurkan sumber secara langsung untuk memperkukuh sektor kesihatan negara. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berharap agar kerajaan dapat memansuhkan subsidi gula dan cukai gula bagi minuman manis diperluaskan semasa pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober nanti.


Ringkasan AI
  • Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan memansuhkan subsidi gula dan memperluaskan cukai minuman manis dalam Belanjawan 2026 bagi mengurangkan pengambilan tidak sihat dan memperkukuh sektor kesihatan.
  • MMA mencadangkan kenaikan yuran klinik awam kepada RM5 dan RM25 bagi klinik pakar (dengan pengecualian untuk B40), serta menaikkan elaun doktor bertugas daripada RM9.16 kepada RM25 sejam.
  • MMA turut menyarankan digitalisasi rekod pesakit, kerjasama awam-swasta, serta pelaburan dalam penjagaan warga emas dan pencegahan penyakit di klinik swasta.


Presidennya, Datuk Dr Thirunaukarasu Rajoo berkata langkah ini bukan sahaja mengurangkan pengambilan yang tidak sihat, malah menyalurkan sumber secara langsung untuk memperkukuh sektor kesihatan negara.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, kadar diabetes di negara telah mencapai tahap bahaya dan berisiko meningkat daripada 3.9 juta pada 2019 kepada 7 juta orang pada 2025.

Selain itu, MMA turut menyarankan agar yuran pendaftaran klinik rawatan primer awam dinaikkan daripada RM1 kepada RM5 manakala di kinik rawatan pakar awam dinaikkan daripada RM5 kepada RM25 namun pengecualian harus dikekalkan untuk pesakit B40.

“Penjagaan kesihatan mesti dilihat sebagai pelaburan untuk masa depan Malaysia, bukan sekadar perbelanjaan,” katanya.

MMA turut menyeru kerajaan menyerap semua doktor kontrak ke jawatan tetap dan meningkatkan elaun bertugas serta mewujudkan papan pemuka untuk memantau pengagihan tenaga kerja dan fasiliti kesihatan.

“Elaun bertugas doktor masih ketinggalan pada RM9.16 sejam, dan MMA mencadangkan kenaikan kepada RM25 sejam bagi mencerminkan beban kerja, tanggungjawab, dan pengorbanan mereka,” katanya lagi.

Bagi digitalisasi dan pencegahan penyakit, MMA mencadangkan standard rekod pesakit, tambah baik MySejahtera, serta saringan NCD di klinik swasta dan penglibatan Pengamal Perubatan Am (GP) swasta dalam program imunisasi dan saringan kesihatan.

“Belanjawan harus membiayai saringan pencegahan di klinik swasta dan menghapuskan jurang yuran rujukan antara GP dan klinik kerajaan untuk meningkatkan akses,” ujarnya.

Penjagaan warga emas turut menjadi fokus, termasuk pelaburan perkhidmatan rumah, tambah pakar geriatrik, fasiliti mesra warga emas, serta sokongan subsidi dan insurans mikro.

MMA turut mengulangi gesaan agar kerjasama awam-swasta diperluas bagi memperkukuh kesinambungan penjagaan.


#Persatuan Perubatan Malaysia MMA #mansuh subsidi gula #cukai minuman manis #Belanjawan 2026