Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
MALAYSIA

Belanjawan 2026: RM20 juta pemodenan sistem forensik digital

Asyraf Malik 10/10/2025 | 10:28 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha ini selaras dengan keperluan melindungi kedaulatan digital dan kesejahteraan rakyat daripada sindiket penipuan serta eksploitasi ruang siber. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan langkah agresif kerajaan dalam memperkukuh keselamatan digital negara, termasuk penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber bagi menangani ancaman siber yang semakin kompleks.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penggubalan Rang Undang-Undang Jenayah Siber bagi menangani ancaman siber dan melindungi rakyat daripada sindiket penipuan dalam talian.
  • Kerajaan akan menubuhkan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi di bawah NACSA serta memperkukuh Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) dengan peruntukan RM12 juta.
  • Sebanyak RM20 juta turut diperuntukkan untuk memperkasa Jabatan Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) PDRM termasuk melalui pembangunan sistem forensik digital dan Behavioural Science Unit.


Menurut beliau, usaha ini selaras dengan keperluan melindungi kedaulatan digital dan kesejahteraan rakyat daripada sindiket penipuan serta eksploitasi ruang siber.

“Kerajaan serius menangani isu scam dan ancaman siber. RUU Jenayah Siber akan digubal agar tindakan lebih menyeluruh dapat dilaksanakan demi melindungi rakyat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen, pada Jumaat.

Antara langkah yang diumumkan termasuk penubuhan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi di bawah Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk memperkukuh kesiapsiagaan negara.

Kerajaan juga memperkukuh Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) yang kini dikendalikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan peruntukan sebanyak RM12 juta bagi meningkatkan kecekapan menangani kes penipuan kewangan.

Selain itu, peranan Jabatan Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) PDRM turut dipertingkat melalui peruntukan RM20 juta untuk memodenkan sistem forensik digital, di samping penubuhan Behavioural Science Unit bagi menganalisis pola tingkah laku penjenayah.

“Langkah ini bukan sahaja melibatkan aspek undang-undang, tetapi juga pembangunan kepakaran forensik digital dan penganalisisan jenayah bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin di ruang siber,” tegas Anwar.


#Belanjawan 2026 #Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #pendigitalan #sistem forensik digital