KUALA LUMPUR: Dalam pembentangan Belanjawan MADANI kelima pada Jumaat oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Sabah dan Sarawak masing-masing menerima peruntukan sebanyak RM18.7 bilion dan RM16.2 bilion pada 2027.
Kerajaan Persekutuan menyifatkan kedua-dua negeri itu kekal sebagai penerima peruntukan Persekutuan terbesar berbanding negeri-negeri lain.
1. Sabah dan Sarawak terima peruntukan Persekutuan terbesar
Sabah menerima RM18.7 bilion manakala Sarawak menerima RM16.2 bilion, kedua-duanya meningkat berbanding tahun sebelumnya dan kekal sebagai antara penerima peruntukan Persekutuan terbesar di negara ini.
2. Pemberian khas di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dinaikkan kepada RM1.5 bilion
Kerajaan meningkatkan kadar interim Pemberian Khas kepada RM1.5 bilion sementara rundingan diteruskan untuk memuktamadkan formula tahunan yang lebih adil dan mampan bagi Sabah dan Sarawak.
3. RM3.3 bilion untuk projek jalan raya utama
Peruntukan RM3.3 bilion disediakan untuk meneruskan projek seperti Pan Borneo Sabah, Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Lebuhraya Trans Borneo (LTB) yang penting bagi mempercepat perjalanan serta aktiviti ekonomi.
4. Bilangan tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) digandakan
Kerajaan menggandakan peluang tajaan JPA kepada anak Sabah dan Sarawak.
Seramai 4,200 pelajar akan menerima tajaan setiap tahun untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
5. Bekalan elektrik Sabah diperkukuh
Kerajaan melaksanakan projek Sistem STATCOM bernilai RM204 juta serta meneruskan projek Southern Link bagi menangani isu kestabilan dan kelangsungan bekalan elektrik di Sabah.
6. Subsidi penerbangan pedalaman diteruskan
Walaupun MASwings diserahkan kepada Sarawak dan dijenamakan semula sebagai AirBorneo, Kerajaan Persekutuan masih menyediakan subsidi RM209 juta bagi memastikan perkhidmatan penerbangan ke kawasan pedalaman kekal beroperasi dan mampu milik.
7. RM1.3 bilion untuk baik pulih sekolah daif
Hampir RM1.3 bilion disediakan bagi menaik taraf 682 sekolah daif di seluruh negara dengan keutamaan diberikan kepada Sabah dan Sarawak yang mempunyai jumlah sekolah uzur yang tinggi.
8. Naik taraf jalan di lapangan terbang Sabah dan Sarawak
Sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan untuk menambah baik jalan sekitar Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan dan Miri selain menaik taraf kemudahan pengangkutan di kawasan berkaitan seperti Stesen Pendaratan dan Berlepas Jarak Pendek (STOLport) Long Banga dan Ba’Kelalan.
9. Zon Ekonomi Khas Sibu mula digerakkan
Kerajaan Persekutuan akan memulakan rundingan rasmi bagi memuktamadkan Zon Ekonomi Khas Sibu, termasuk insentif pelaburan dan infrastruktur sokongan untuk menarik lebih banyak pelaburan ke kawasan tengah Sarawak.
10. Lebih peluang kepada pesawah dan usahawan luar bandar
Insentif pembajakan sawah sebanyak RM300 sehektar diperluas kepada pesawah Sabah dan Sarawak.
Pada masa sama, program Tamu Desa diteruskan bagi membantu usahawan kecil memasarkan produk mereka.