KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, dengan sesi pembentangan dijadual bermula pada jam 3.30 petang.
[ SAKSIKAN DI LIVE TV SEKARANG ]
Belanjawan 2027 yang turut dibentangkan oleh Anwar selaku Menteri Kewangan merupakan belanjawan kelima di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI sejak kerajaan itu dibentuk pada 2022.
Ia juga adalah belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang terus berpaksikan tiga tonggak utama Ekonomi MADANI, iaitu meningkatkan siling pertumbuhan ekonomi negara, menaikkan taraf kesejahteraan hidup rakyat serta memperkukuh pembaharuan tatakelola pentadbiran negara.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan memaklumkan perancangan Belanjawan 2027 dirangka dengan mengambil kira keperluan jangka pendek dan jangka panjang negara.
Menurut kementerian itu, belanjawan berkenaan bertujuan melindungi rakyat daripada kesan krisis tenaga dan tekanan kos sara hidup, di samping membina asas ekonomi yang lebih kompleks, berdaya tahan dan bernilai tinggi untuk masa depan.
Belanjawan 2027 membawa tema "Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi", selaras dengan usaha kerajaan untuk mempercepatkan transformasi ekonomi negara melalui peningkatan produktiviti dan inovasi.
Antara keutamaan yang dijangka diberi penekanan termasuk mempercepatkan peralihan tenaga, memperkukuh keterjaminan makanan, memperluaskan agenda digital dan kecerdasan buatan (AI), serta melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan ekonomi masa depan.
Pembentangan Belanjawan 2027 dijangka menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuk pemain industri, pelabur dan rakyat, yang menantikan langkah kerajaan dalam menangani cabaran ekonomi semasa serta merancakkan pertumbuhan negara dalam persekitaran global yang semakin mencabar.