Skip to main content

Malaysia

Belanjawan 2027: Harap fitnah jual KTMB dapat dinoktah - Loke

Menurut Loke, kerajaan melalui Khazanah Nasional Berhad dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bersetuju melaksanakan usaha pemuliharaan serta menaik taraf kedua-dua bangunan berkenaan. - Foto Bernama
Menurut Loke, kerajaan melalui Khazanah Nasional Berhad dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bersetuju melaksanakan usaha pemuliharaan serta menaik taraf kedua-dua bangunan berkenaan. - Foto Bernama

Advertisement

PUTRAJAYA: Pengumuman Belanjawan 2027 berhubung usaha memulihara Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan ibu pejabat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) diharap dapat menoktahkan dakwaan kononnya syarikat pengangkutan milik kerajaan itu akan dijual atau diswastakan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan tidak pernah mempunyai perancangan untuk menjual atau menswastakan KTMB, termasuk bangunan bersejarah miliknya kepada entiti asing.

Menurutnya, inisiatif pemuliharaan itu membuktikan tekad kerajaan untuk mengekalkan warisan sejarah pengangkutan negara, selain menaik taraf bangunan berkenaan sebagai tarikan pelancongan.

“Dengan pengumuman ini, saya berharap dapat menoktahkan segala tuduhan, segala fitnah yang menyatakan bahawa Kementerian Pengangkutan nak jual bangunan KTMB itu.

“Memang tak pernah ada rancangan untuk menswastakan ataupun menjual bangunan KTMB ini,” katanya dalam satu sidang media, di sini, pada Isnin.

Jelas Loke, kerajaan melalui Khazanah Nasional Berhad dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bersetuju melaksanakan usaha pemuliharaan serta menaik taraf kedua-dua bangunan berkenaan.

“Bangunan KTMB ini adalah satu bangunan milik kerajaan yang cukup bersejarah, yang ada nilai nostalgia dia.

“Kerajaan melalui Khazanah dan RAC bersetuju untuk memulihara bangunan ini, bukan sahaja memulihara tetapi akan menaik taraf bangunan ini supaya ia menjadi satu bangunan ikonik yang dapat menarik pelancongan dan sebagainya,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement