Skip to main content

Malaysia

Belanjawan 2027: KKM mahu noktahkan era doktor kontrak – Dzulkefly

Dalam Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap pada 2027. - foto fail
Dalam Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap pada 2027. - foto fail

Advertisement

Ringkasan AI

  • KKM komited menoktahkan era doktor kontrak melalui Belanjawan 2027 bagi memperkukuh kebajikan petugas kesihatan dan kecekapan perkhidmatan.
  • Lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap pada 2027, menyusul 15,000 yang telah dilantik sejak 2023.
  • Belanjawan 2027 turut menaikkan peruntukan KKM kepada RM47.7 bilion dan meningkatkan insentif kepada 47,000 anggota paramedik serta jururawat.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited menoktahkan era doktor kontrak menerusi Belanjawan 2027 sebagai sebahagian usaha memperkukuh kebajikan petugas kesihatan, selain meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, usaha itu merupakan antara tiga keutamaan kementerian yang turut merangkumi pengurangan masa menunggu pesakit serta penambahbaikan kemudahan dan infrastruktur kesihatan di seluruh negara.

Menurutnya, aspek kebajikan petugas kesihatan perlu diberikan perhatian seiring usaha meningkatkan mutu perkhidmatan, memandangkan keupayaan sistem kesihatan bukan sahaja bergantung kepada fasiliti dan peralatan, tetapi juga tenaga kerja yang mengendalikan perkhidmatan berkenaan.

“Dan ketiga adalah petugas itu sendiri. Maruah petugas diberikan beberapa yang telah pun dibuat. Pengumuman terbesar adalah menoktahkan rejim kontrak doktor itu, era itu sudah pastinya mahu kita tamatkan,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Beliau berkata, KKM turut memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan rawatan dan mengurangkan tempoh menunggu pesakit, termasuk bagi prosedur elektif yang lazimnya memerlukan tempoh menunggu lebih panjang, selain menangani masalah fasiliti kesihatan yang daif dan usang.

Dalam Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap pada 2027, sekali gus menjadi langkah penting ke arah menamatkan sistem pelantikan doktor kontrak interim.  

Menurut Kementerian Kewangan, lebih 15,000 doktor kontrak telah dilantik ke jawatan tetap sejak 2023, termasuk 4,000 pada tahun ini, manakala doktor yang berjaya menamatkan latihan siswazah selepas ini akan ditawarkan jawatan tetap sebagai pegawai perubatan.  

Belanjawan 2027 menyaksikan peruntukan KKM meningkat kepada RM47.7 bilion berbanding RM46.5 bilion pada 2026, selain menyediakan penambahbaikan kebajikan kepada kira-kira 47,000 anggota paramedik dan jururawat menerusi kenaikan Bayaran Insentif Pos Basik daripada RM100 kepada RM200 sebulan.  

Secara keseluruhannya, Dzulkefly menegaskan bahawa perbelanjaan kesihatan tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai beban kewangan kerajaan, sebaliknya sebagai pelaburan strategik yang penting untuk menjamin kesejahteraan rakyat, memperkukuh keupayaan sistem kesihatan dan meningkatkan produktiviti tenaga kerja negara.
 

Agenda AWANI: Belanjawan 2027 | Kesihatan MADANI ‘back to basics’

Must Watch Video

Advertisement