Ringkasan AI
- Peningkatan gaji pekerja perlu diselaraskan dengan produktiviti PMKS bagi mengelakkan tekanan kewangan dan memastikan kelangsungan perniagaan.
- Kerajaan menetapkan gaji minimum baharu RM2,000 mulai Jun 2027, dengan pengecualian kepada PMKS berpendapatan bawah RM50 juta.
- Pakar menegaskan keperluan pendekatan holistik kerana peningkatan produktiviti tidak selalu diterjemahkan kepada pertumbuhan gaji setimpal bagi pekerja.
KUALA LUMPUR: Usaha meningkatkan pendapatan pekerja di Malaysia perlu dilaksanakan seiring dengan peningkatan produktiviti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi memastikan kelangsungan perniagaan tidak terjejas susulan pelaksanaan dasar gaji yang lebih tinggi.
Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein berkata, peningkatan gaji tidak boleh bergantung semata-mata kepada dasar gaji minimum tanpa mengambil kira perbezaan tahap produktiviti dan kemampuan kewangan perusahaan dalam pelbagai sektor ekonomi.
"Kalau kita menetapkan gaji yang terlalu tinggi mengikut dasar gaji minimum, ia akan memberikan tekanan kepada sektor yang produktivitinya tidak cukup tinggi.
"Kita perlu ada pendekatan yang membolehkan gaji dinaikkan. Pada masa sama, kita juga tidak mahu 'membunuh' PMKS," katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Kenyataan itu menyusuli pengumuman Belanjawan 2027 pada Jumaat lalu yang menyaksikan kerajaan bersetuju meningkatkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan, berkuat kuasa Jun 2027.
Bagaimanapun, PMKS dengan hasil jualan di bawah RM50 juta diberikan pengecualian bagi membolehkan perusahaan terbabit menyesuaikan model perniagaan masing-masing, dengan lebih empat juta pekerja dijangka tertakluk kepada kadar gaji minimum baharu itu.
Kerajaan turut mengumumkan pengenalan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai sebahagian daripada pembaharuan kerangka pendapatan pekerja.
Belanjawan 2027: Pendapatan pekerja perlu dinaikkan tanpa ‘membunuh’ PMKS - Penganalisis
Mengulas lanjut, Nurhisham berkata, perbezaan ketara dalam bahagian pampasan pekerja atau Compensation of Employees (CE) antara subsektor ekonomi menunjukkan perlunya penelitian lebih mendalam sebelum dasar peningkatan gaji dilaksanakan secara menyeluruh.
Beliau memaklumkan, terdapat subsektor yang mencatatkan bahagian CE melebihi 100 peratus, manakala subsektor lain merekodkan kadar kurang daripada 10 peratus.
Menurutnya, keadaan tersebut memperlihatkan perbezaan struktur kos buruh dan keupayaan ekonomi antara subsektor yang perlu diberikan perhatian dalam merangka dasar pendapatan lebih berkesan.
Nurhisham turut menegaskan bahawa isu pendapatan rendah bukan sahaja membabitkan pekerja kurang mahir, malah merangkumi graduan serta tenaga kerja berkemahiran tinggi.
"Kalau pekerja dapat pensijilan, upskilling dan reskilling, tetapi keuntungan majikan macam itu saja, memang gaji tidak akan naik.
"Jadi, kita perlu ada pendekatan yang lebih holistik di mana kita tengok produktiviti pekerja dan juga produktiviti untuk majikan sekali," katanya.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), PMKS menggajikan 8.09 juta pekerja pada 2025, bersamaan 48.7 peratus daripada keseluruhan guna tenaga negara.
Sektor berkenaan turut menyumbang 39.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan produktiviti buruh meningkat 4.1 peratus kepada RM85,299 nilai ditambah bagi setiap pekerja berbanding RM81,931 pada 2024.
Dalam konteks itu, Nurhisham berpandangan, peningkatan produktiviti perusahaan mikro yang mempunyai kurang daripada lima pekerja perlu diberikan perhatian khusus memandangkan kelompok berkenaan berdepan cabaran untuk meningkatkan keupayaan operasi dan pendapatan.
Belanjawan 2027 dianggap “gula-gula batuk”, sudah selesai beberapa isu asas fiskal
Sementara itu, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali membangkitkan cabaran berbeza apabila peningkatan produktiviti pekerja tidak semestinya diterjemahkan kepada pertumbuhan gaji yang setimpal.
"Walaupun saya dapat meningkatkan produktiviti, secara prinsipnya apabila produktiviti meningkat, gaji juga meningkat.
"Tetapi masalahnya, produktiviti meningkat, gaji masih tersangkut juga sebenarnya," katanya.
Kebimbangan itu turut disokong penemuan Bank Negara Malaysia (BNM) yang menunjukkan produktiviti buruh negara meningkat secara kumulatif sebanyak sembilan peratus sejak 2019, sedangkan gaji benar sektor swasta bagi setiap pekerja menurun 1.7 peratus dalam tempoh sama sehingga 2025.
BNM turut mengenal pasti kekurangan pekerjaan berkemahiran tinggi dengan gaji yang setimpal, kebergantungan kepada buruh asing berkos rendah serta struktur pengeluaran bernilai tambah rendah sebagai antara faktor yang mengekang pertumbuhan pendapatan pekerja.
Mengulas lanjut, Noor Azlan menekankan kepentingan meningkatkan bahagian pampasan pekerja daripada keseluruhan pendapatan negara, selaras dengan sasaran 45 peratus menjelang 2033 yang ditetapkan menerusi kerangka Ekonomi MADANI.
Menurut DOSM, bahagian CE Malaysia meningkat kepada 33.9 peratus pada 2025 berbanding 33.6 peratus pada 2024, dengan jumlah pampasan pekerja mencecah RM686.9 bilion.
Bagaimanapun, angka tersebut masih jauh daripada sasaran kerajaan, sementara lebihan kendalian kasar atau Gross Operating Surplus (GOS) terus menjadi komponen terbesar pendapatan negara dengan sumbangan 62 peratus kepada KDNK pada 2025.
Noor Azlan berkata, Malaysia pernah mencatatkan bahagian pampasan pekerja sekitar 37 peratus, namun kedudukannya merosot selepas pandemik COVID-19 sebelum menunjukkan peningkatan secara beransur-ansur.
"Kalau hasrat kita nak bawa ke 45 peratus, itu sebenarnya angka yang pertama, sebab itu adalah kek ekonomi pendapatan negara, berapa peratus pergi kepada pekerja.
"Cerita pembahagian antara pekerja itu cerita lain, tetapi selagi kita tidak dapat melihat angka itu berganjak, ia satu cabaran yang besar," katanya.
Beliau menjelaskan, pencapaian sasaran tersebut penting kerana ia mencerminkan sejauh mana pertumbuhan ekonomi negara dapat memberikan manfaat langsung kepada pekerja melalui peningkatan bahagian pendapatan yang diterima mereka.
#AgendaAWANI | Belanjawan 2027: Pertumbuhan, Kesejahteraan dan Kemampanan Fiskal | 13 Okt 26