Ringkasan AI
- Peruntukan hal ehwal Islam meningkat kepada RM3.1 bilion dalam Belanjawan MADANI 2027 berbanding RM2.6 bilion tahun sebelumnya.
- Kerajaan menanggung sepenuhnya caruman PERKESO bagi 40,000 petugas agama melalui Tabung Haji, termasuk imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan guru takmir.
- Insentif khas RM150 sebulan diberikan kepada 500 Guru KAFA yang mendidik murid berkeperluan khas, termasuk melalui bahasa isyarat dan al-Quran Braille.
KUALA LUMPUR: Peruntukan bagi hal ehwal Islam meningkat kepada RM3.1 bilion menerusi Belanjawan MADANI 2027 berbanding RM2.6 bilion tahun lepas, mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pembangunan Islam termasuk pendidikan dan kebajikan petugas agama.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata langkah kerajaan itu memastikan kebajikan petugas agama selaras dengan peranan mereka dalam menyampaikan pendidikan Islam, membimbing masyarakat dan mengimarahkan institusi masjid serta surau.
"Kebajikan petugas agama turut diperkuat apabila kerajaan menanggung sepenuhnya caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi 40,000 petugas merangkumi imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan guru takmir melalui Tabung Haji.
"Insentif khas RM150 sebulan turut diberikan kepada 500 Guru KAFA yang mendidik murid berkeperluan khas termasuk melalui bahasa isyarat dan al-Quran Braille," menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam aspek perlindungan nyawa, beliau berkata cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan yang mewajibkan pemandu disabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa selari dengan prinsip hifz al-nafs (memelihara nyawa), antara teras Maqasid Syariah yang menekankan perlindungan nyawa manusia dan pemeliharaan hak mangsa.
"Seluruh warga kerja JAKIM bertekad memastikan tatakelola dan kecekapan pelaksanaan berada pada tahap tertinggi agar setiap sen perbelanjaan wang awam dimanfaatkan demi kepentingan rakyat," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Salehuddin Saidin menyifatkan langkah kerajaan menanggung sepenuhnya caruman PERKESO bagi 40,000 petugas agama melalui Lembaga Tabung Haji sebagai usaha positif dalam memperkukuh perlindungan sosial golongan berkenaan.
Beliau berkata inisiatif itu amat dialu-alukan kerana dapat membantu mereka menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik dan berpotensi meningkatkan motivasi petugas agama termasuk imam, bilal, tok siak, noja, marbut serta guru takmir terutama yang mempunyai kemahiran khusus dalam mendidik murid berkeperluan khas.
"Golongan ini memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat Islam, justeru usaha memperkukuh perlindungan sosial mereka wajar dialu-alukan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Peguam kanan yang juga Ahli Dewan Negara itu berkata peningkatan peruntukan bagi pembangunan hal ehwal Islam adalah perkembangan dasar signifikan yang mencerminkan perhatian kerajaan terhadap pembangunan institusi agama dan pendidikan Islam.
Bagaimanapun, Salehuddin berkata penilaian lebih menyeluruh diperlukan untuk menentukan keberkesanan peruntukan tambahan itu termasuk melalui penelitian terhadap pecahan peruntukan, sasaran pelaksanaan dan objektif yang ingin dicapai.
Beliau berkata pembangunan umat Islam bukan sekadar tertumpu kepada pembangunan fizikal atau perkembangan institusi tetapi turut merangkumi penyebaran ilmu, pembentukan akhlak, keadilan sosial dan keupayaan institusi agama memenuhi keperluan masyarakat semasa.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” di Dewan Rakyat berkata Kerajaan MADANI terus memartabatkan syiar Islam di bumi Malaysia.
-- BERNAMA