Skip to main content

Malaysia

Belanjawan 2027 perkukuh tiga teras transformasi digital - Pakar

Azrul menegaskan, pelaksanaan setiap inisiatif perlu dipantau agar projek yang diumumkan dapat disiapkan mengikut sasaran dan manfaatnya sampai kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan. - Gambar Astro AWANI
Azrul menegaskan, pelaksanaan setiap inisiatif perlu dipantau agar projek yang diumumkan dapat disiapkan mengikut sasaran dan manfaatnya sampai kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan. - Gambar Astro AWANI

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kejayaan agenda digital Belanjawan 2027 perlu dinilai berdasarkan perubahan yang benar-benar dirasai rakyat menerusi akses lebih luas, kemahiran yang relevan dan perlindungan lebih kukuh dalam talian.

Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Ts Azrul Zafri Azmi berkata, ketiga-tiga teras itu penting kerana internet kini menjadi keperluan asas yang menyokong pendidikan, perniagaan dan kehidupan seharian, khususnya bagi masyarakat luar bandar serta golongan yang masih ketinggalan secara digital.

Menurutnya, pelaburan RM5 bilion melalui Jalinan Digital Negara (JENDELA) menyediakan asas penting untuk merapatkan jurang digital dengan memperluas capaian internet ke kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Saya nampak Belanjawan 2027 ini bagi penekanan kepada tiga perkara utama iaitu akses kepada teknologi, keupayaan rakyat menggunakan teknologi itu dan keselamatan pengguna dalam dunia digital. Yang mana bagi saya adalah satu perkembangan yang sangat-sangat positif.

“Macam contoh, kerajaan umumkan yang ada pelaburan sebanyak RM5 bilion melalui JENDELA untuk memperluaskan capaian internet, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI.

Bagaimanapun, Azrul menegaskan, pembangunan digital tidak boleh sekadar diukur berdasarkan jumlah menara telekomunikasi yang dibina atau kelajuan internet yang disediakan, sebaliknya perlu mengambil kira kualiti, kemampuan dan manfaat sebenar teknologi kepada kehidupan rakyat.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pelaburan menerusi JENDELA itu akan memperluas liputan internet berkualiti tinggi di kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk perkampungan Orang Asli.

Inisiatif berkenaan turut menyasarkan ketersambungan di sepanjang 7,000 kilometer jalan raya dan lebuh raya serta 1,700 kilometer jajaran kereta api di seluruh negara.

Azrul berkata, capaian internet lebih baik berupaya membuka pasaran lebih luas kepada peniaga kecil di luar bandar yang sebelum ini bergantung kepada pelanggan di kawasan setempat.

“Contohnya sebelum ini, mungkin peniaga kecil di kawasan luar bandar, tak ada internet yang baik. Mungkin dengan tambahan peruntukan kali ini, dia boleh dapat akses internet yang lebih baik.

“Jadi dia bukan saja boleh jual kepada pelanggan di kawasan di sekitar dia, tapi boleh juga pasarkan produk itu ke seluruh negara dan mungkin ke peringkat global,” katanya.

Selain peluasan infrastruktur, sebanyak RM142 juta diperuntukkan untuk memperkasa Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai hab komuniti digital yang menyediakan latihan kemahiran dan kecerdasan buatan (AI), selain menyokong keusahawanan serta ekonomi setempat.

“Saya tengok latihan kemahiran digital AI ini sangat penting sebab kita tak nak rakyat kita sekadar jadi pengguna teknologi itu. Tapi mereka juga mampu untuk gunakan teknologi itu untuk jana pendapatan,” ujarnya.

Manfaat pendigitalan turut diperluas kepada sektor kesihatan menerusi peruntukan RM1 bilion bagi memperkukuh ekosistem kesihatan digital negara, termasuk melalui Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA).

Pelaksanaan PERSADA merangkumi peluasan Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR), perkhidmatan telekesihatan dan penggunaan dron untuk penghantaran ubat, sekali gus berpotensi memudahkan pesakit yang tinggal jauh daripada kemudahan kesihatan mendapatkan perkhidmatan diperlukan.

Bagi sektor pendidikan pula, peluasan kemudahan Wi-Fi di semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dijangka menyokong pembelajaran digital serta memberi lebih banyak ruang kepada mahasiswa memanfaatkan teknologi AI.

Pada peringkat infrastruktur strategik, Sistem Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) akan meningkatkan kapasiti dan daya tahan rangkaian yang menghubungkan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, manakala Sovereign AI Cloud pula menyokong kedaulatan data serta pembangunan AI yang selamat.

Namun, Azrul mengingatkan bahawa peningkatan penggunaan perkhidmatan digital turut membawa risiko penipuan dalam talian, kecurian identiti, penyalahgunaan data dan penipuan berasaskan AI.

“Kita boleh bina infrastruktur internet yang terbaik, tapi kalau pengguna masih mudah nak jadi mangsa skam, phishing ataupun penipuan berasaskan AI, maknanya masih ada jurang yang perlu kita tangani,” katanya.

Sehubungan itu, pendidikan pengguna, kebertanggungjawaban penyedia perkhidmatan dan perlindungan data peribadi perlu bergerak seiring dengan pembangunan infrastruktur digital.

Dalam menyokong usaha berkenaan, MCMC akan terus memperhebat Kempen Internet Selamat di sekolah seluruh negara bagi memupuk kesedaran mengenai keselamatan dalam talian sejak usia muda, di samping memperkukuh tindakan membanteras penipuan digital.

Azrul turut menegaskan, pelaksanaan setiap inisiatif perlu dipantau agar projek yang diumumkan dapat disiapkan mengikut sasaran dan manfaatnya sampai kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan.

“Kita kena betul-betul pastikan projek-projek yang diumum dapat disiapkan mengikut sasaran dan benar-benar sampai ke kumpulan sasar yang memerlukan. Khususnya masyarakat luar bandar dan golongan-golongan yang mungkin masih ketinggalan dari segi digital,” katanya.

Menurutnya, ukuran kejayaan tidak seharusnya bersandarkan jumlah projek yang disiapkan semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi peningkatan pendapatan, kemudahan akses dan tahap keselamatan pengguna.

“Saya juga berharap keberkesanan semua inisiatif ini dapat dinilai secara open, secara public, secara terbuka, bukan hanya sekadar berdasarkan jumlah projek yang siap. Tapi juga dari segi peningkatan pendapatan, kemudahan akses dan tahap keselamatan pengguna.

“Akhirnya, kita punya matlamat, objektif kita bukan setakat nak lahirkan masyarakat yang celik digital, tapi masyarakat yang mampu untuk manfaatkan teknologi dengan yakin, produktif dan juga selamat. Itu bagi saya ukuran sebenar kejayaan transformasi digital negara,” jelasnya.

Must Watch Video

Advertisement