Ringkasan AI
- Belanjawan MADANI 2027 menekankan perubahan budaya kerja perkhidmatan awam untuk memastikan pelaksanaan pantas, penyampaian cekap dan manfaat kepada rakyat.
- Lima keutamaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam digariskan, termasuk pengukuhan tatakelola, pembangunan bakat, pemudahan urusan rakyat, pendigitalan dan penyelarasan rentas kementerian.
- Aplikasi MyResQ dilancarkan untuk memperkukuh respons kecemasan komuniti, menghubungkan orang awam terlatih CPR dengan mangsa kecemasan jantung dan memetakan lokasi AED.
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Belanjawan MADANI 2027 perlu diterjemahkan melalui perubahan menyeluruh dalam budaya kerja perkhidmatan awam dengan memberi keutamaan kepada kepantasan pelaksanaan, kecekapan penyampaian dan keberhasilan yang dapat dirasai oleh rakyat.
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata belanjawan melibatkan keseluruhan sumber berjumlah RM461.84 bilion itu bukan sekadar penyataan kewangan negara, sebaliknya amanah besar bagi memastikan setiap rakyat menerima manfaat melalui peluang ekonomi saksama dan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap serta berintegriti.
“Rakyat tidak menilai kerajaan semata-mata melalui jumlah peruntukan diumumkan. Rakyat menilai melalui kemudahan yang dapat dinikmati, bantuan sampai kepada golongan sasar, urusan dapat diselesaikan tanpa karenah birokrasi, projek disiapkan mengikut jadual serta keadilan dirasai ketika berurusan dengan institusi kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Shamsul Azri berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sesi Khas Pasca Pembentangan Belanjawan 2027 dan Pelancaran Aplikasi MyResQ bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi: Memperhebat Reformasi” di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.
Beliau berkata arahan dikeluarkan pada 12 Okt lepas kepada semua ketua setiausaha dan ketua jabatan agar segera memulakan perancangan bagi memastikan inisiatif Belanjawan MADANI 2027 dapat dilaksanakan seawal tahun depan.
Beliau turut menggariskan lima keutamaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) merangkumi pengukuhan tatakelola dan akauntabiliti, pembangunan bakat dan budaya prestasi tinggi, pemudahan urusan rakyat, pendigitalan secara bertanggungjawab serta penyelarasan rentas kementerian berasaskan hasil.
Bagi memperkukuh agenda reformasi itu, Shamsul Azri menekankan kepentingan kesiapsiagaan agensi kerajaan bagi pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan mulai 2027, selain penyederhanaan prosedur birokrasi dan peluasan perkhidmatan digital yang lebih cekap serta bersepadu.
“Pencapaian inisiatif pentadbiran tanpa kertas berjaya menjimatkan sebanyak 482,940 rim kertas, bersamaan penjimatan RM5.79 juta hingga Ogos lepas, sekali gus membuktikan bahawa reformasi proses kerja mampu menghasilkan manfaat yang boleh diukur,” katanya.
Shamsul Azri pada masa sama mengucapkan tahniah atas pencapaian UM di kedudukan ke-56 dunia dalam QS World University Rankings 2027 serta kejayaan menjadi universiti pertama Malaysia memasuki kelompok 200 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education World University Rankings 2027.
Pada majlis itu, beliau turut melancarkan aplikasi MyResQ yang menghubungkan orang awam terlatih dalam bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) dengan mangsa kecemasan jantung yang berhampiran, selain memetakan lokasi peranti defibrilator luaran automatik (AED) sebagai usaha memperkukuh respons kecemasan berasaskan komuniti.
Dalam kenyataan sama, Naib Canselor UM Profesor Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman berkata institusi pengajian tinggi mempunyai tanggungjawab yang semakin penting dalam mendukung agenda pembangunan dan reformasi negara, khususnya melalui penyelidikan, pembangunan bakat serta penghasilan inovasi yang mampu menangani cabaran sebenar masyarakat.
“Universiti tidak boleh hanya diukur melalui pencapaian akademik dan kedudukan dalam penarafan dunia, tetapi juga melalui sejauh mana ilmu, kepakaran dan penyelidikan yang dihasilkan mampu diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
-- BERNAMA