KUALA LANGAT: Kerajaan Negeri Selangor akan terus menumpukan agenda membina lebih banyak perumahan rakyat atau kediaman mampu milik selaras dengan pengumuman Belanjawan 2027 minggu lepas.
Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Datuk Borhan Aman Shah berkata terdapat keperluan untuk pentadbiran di peringkat negeri menjalin kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan hasrat terbabit dapat direalisasikan.
"Selangor berdepan permintaan dan keperluan perumahan yang agak tinggi dengan jumlah penduduk mencecah lapan juta orang. Namun, kerajaan negeri mahu memastikan isu rumah mampu milik dapat diatasi antaranya dengan menyasarkan pembinaan 200,000 unit kediaman menjelang 2028," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program MADANI Kita (PMK) Tanjong Sepat 2026 di Dataran Pantai Batu Laut, Tanjong Sepat di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 mengumumkan usaha dalam memperkukuh pembangunan perumahan, menaik taraf infrastruktur awam dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerima peruntukan sebanyak RM6.355 bilion, meningkat 4.38 peratus berbanding tahun sebelumnya, bagi meneruskan pelaksanaan inisiatif perumahan, pembangunan komuniti dan penambahbaikan kemudahan awam di seluruh negara.
Antara tumpuan utama ialah RM700 juta bagi menaik taraf kemudahan awam di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT), RM320 juta untuk pembaikan cerun dan sistem perparitan serta RM1 bilion bagi pelaksanaan Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan Program Residensi Rakyat (PRR).
Borhan berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) turut melakukan pemantauan bagi memastikan projek perumahan berjalan lancar.
Dalam pada itu, ditanya jika Selangor mempunyai perancangan untuk meneroka Projek Residensi Siswa di peringkat negeri, beliau berkata pihaknya turut mempunyai perancangan sama dengan mengambil kira keperluan dan jumlah universiti yang banyak di Selangor.
"Selain itu, kita mungkin akan melaksanakan semula sewa untuk milik (RTO) dan telah mengambil alih 3,004 unit rumah di PPR Lembah Subang baru-baru ini. Ini antara yang turut menjadi fokus kita bagi memastikan rakyat mampu memiliki kediaman sendiri di Selangor," katanya.
Semalam, Anwar melancarkan Projek Residensi Siswa Universiti Malaya (UM) yang merupakan inisiatif awal dalam mengatasi masalah kediaman dan kos sewa tinggi yang dihadapi oleh mahasiswa di Lembah Klang.
Projek itu bakal menempatkan 30,000 mahasiswa dan bagi mencapai matlamatnya, beliau mahu ia disiapkan lebih awal berbanding cadangan pada 2030 dan akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
-- BERNAMA