Ringkasan AI
- Kerajaan MADANI meningkatkan peruntukan hal ehwal agama kepada RM3.1 bilion dalam Belanjawan 2027 berbanding RM2.6 bilion tahun ini.
- Insentif khas RM150 sebulan diberikan kepada 500 guru KAFA yang mendidik murid berkeperluan khas, termasuk melalui bahasa isyarat dan al-Quran braille.
- Kerajaan akan menanggung caruman PERKESO untuk 40,000 imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan guru takmir melalui Lembaga Tabung Haji.
PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI terus komited untuk memperkasakan syiar Islam dan kebajikan ummah menerusi pelbagai inisiatif berimpak tinggi selaras dengan peningkatan peruntukan hal ehwal agama kepada RM3.1 bilion dalam Belanjawan 2027.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan menerusi kenyataan hari ini merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pembentangan Belanjawan 2027.
“Semoga setiap ikhtiar ini melimpahkan keberkatan dan kesejahteraan hakiki buat bumi Malaysia. Islam terus subur, mekar dan terjamin di bumi Malaysia,” katanya.
Anwar ketika membentangkan belanjawan bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” hari ini berkata Kerajaan MADANI terus memartabatkan syiar Islam dengan peruntukan berkaitan hal ehwal agama ditingkatkan kepada RM3.1 bilion dalam Belanjawan 2027 berbanding RM2.6 bilion tahun ini.
Perdana Menteri turut mengumumkan insentif khas RM150 sebulan kepada 500 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang mendidik murid berkeperluan khas, termasuk melalui bahasa isyarat dan al-Quran braille.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji, akan menanggung sepenuhnya caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi semua 40,000 imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan guru takmir.
Sementara itu, Zulkifli memuji tindakan kerajaan mengambil langkah tegas meminda Akta Pengangkutan Jalan selaras ketegasan keadilan, iaitu prinsip diyat memelihara nyawa (Hifz An-Nafs).
“Menyedari tragedi nahas akibat pemandu mabuk dan di bawah pengaruh dadah yang meragut nyawa insan tidak berdosa, kerajaan mengambil langkah tegas meminda Akta Pengangkutan Jalan.
“Pindaan ini mewajibkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa atau keluarga mangsa - selari dengan tuntutan syariat Diyat dalam Islam bagi menuntut keadilan dan memelihara kesucian nyawa (Hifz An-Nafs),” katanya.
-- BERNAMA