Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
MALAYSIA

Belanjawan MADANI Keempat terjemah reformasi kepada hasil nyata - Anwar

Bernama 11/10/2025 | 12:15 MYT
Anwar berkata belanjawan bertemakan "Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat" menggabungkan disiplin dan nurani dalam merencana masa depan negara yang adil, makmur dan bermaruah. - Gambar fail/JaPen
KUALA LUMPUR: Belanjawan MADANI Keempat yang dibentangkan semalam merupakan manifestasi nyata keberanian kerajaan dalam menterjemah agenda reformasi kepada tindakan dan hasil yang dapat dinikmati rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata belanjawan itu menandakan permulaan lembaran baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan tumpuan kepada pengukuhan tatakelola, pengurangan defisit fiskal, peningkatan kebajikan rakyat serta pemacuan ekonomi berasaskan nilai tinggi.

"Setelah berani mengusung reformasi, inilah masanya memulangkan hasil kepada rakyat. Belanjawan MADANI Keempat yang saya hamparkan semalam membuka lembaran pertama di bawah RMK13, memaknai erti reformasi yang kini diterjemah kepada tindakan dan hasil nyata," katanya dalam hantaran di platform X hari ini.

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata belanjawan bertemakan "Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat" menggabungkan disiplin dan nurani dalam merencana masa depan negara yang adil, makmur dan bermaruah.

Semalam, Perdana Menteri berkata belanjawan itu mengoptimumkan sumber negara termasuk dana syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion, berbanding RM452 bilion pada tahun sebelumnya.

-- BERNAMA

#Belanjawan 2026 #GLIC #defisit fiskal #kebajikan rakyat