Belanjawan Selangor 2021: COVID-19 batu loncatan kepada inisiatif digitalisasi

Astro Awani
November 3, 2020 21:42 MYT
Amirudin menjelaskan pengurusan kesihatan awam dalam menangani pandemik memerlukan tindakan menyeluruh dan melibatkan usaha sama semua pihak. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 disifatkan sebagai batu loncatan dalam usaha menggalakkan inisiatif digitalisasi terutamanya dalam urusan perniagaan.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dengan peruntukan sejumlah RM369 juta bagi menjayakan Agenda Digitalisasi seperti yang dibentangkan dalam belanjawan negeri baru-baru ini sekali gus mendorong semua pihak untuk bersedia kepada perubahan itu.
“Sebenarnya pandemik COVID-19 ini mempercepatkan proses digitalisasi dan kerajaan perlu bersedia. Begitu juga kerajaan negeri dan pelbagai inisiatif kami lakukan agar peniaga kecil dan sederhana dapat mengaplikasikan teknologi atau industri 4.0.
“Kita sedar selepas ini jika lengkungan COVID-19 itu dapat dilandaikan, tetap akan berlaku gelombang seterusnya dan pada masa itu, kita tidak boleh mengeluh sebaliknya perlu bersedia dan menggunakan segala ruang yang ada.
“Saya melihat pandemik ini dalam bentuk masa depan dan apa yang harus kita lakukan, berbanding kita mengeluh, kerajaan negeri cipta program bagi memudahkan rakyat dalam pelbagai sektor,” katanya menerusi program Agenda AWANI pada Selasa malam.
BACA: Belanjawan Selangor 2021 peruntuk RM2.323 bilion
Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan, pengurusan kesihatan awam dalam menangani pandemik memerlukan tindakan menyeluruh dan melibatkan usaha sama semua pihak.
“Kita perlu melihat urusan pandemik ini perlu dilakskan secara menyeluruh. Sebelum ini fokus kita adalah berkenaan urusan kesihatan seperti hospital di mana ia perlu besar, ramai pakar perubatan, penggunaan ubat terbaik dan sebagainya.
“Bagaimanapun, kesihatan awam perlu dijaga, selain COVID-19 terdapat juga masalah kesihatan lain seperti denggi dan ia perlu usaha dari semua pihak,” jelasnya.
Saksikan program Agenda AWANI bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di bawah:
#COVID-19 #inisiatif digitalisasi #Belanjawan Selangor 2021 #Amirudin Shari #Belanjawan Negeri #pandemik