KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor meneruskan Bantuan Baucar Jom Shopping Bersempena Perayaan menerusi Belanjawan 2024, dengan peruntukan sebanyak RM16.48 juta.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amridin Shari berkata, melalui peruntukan tersebut, ia dijangka memberi kepada 82,400 orang yang layak.

"Program ini merupakan program bantuan yang dilaksanakan bersempena tiga perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali di mana setiap keluarga yang kurang berkemampuan akan diberikan baucar untuk pembelian barangan keperluan bernilai RM200.

"Bagi tahun 2023, sebanyak RM16.48 juta telah diperuntukkan untuk program ini.

"Justeru, pada 2024, program ini akan diteruskan dengan jumlah  peruntukan sebanyak RM16.48 juta yang akan disasarkan kepada 82,400 penerima manfaat.

"Bermula pada tahun 2023, syarat pendapatan isi rumah bagi penerima manfaat ini telah ditingkatkan daripada bawah RM2,000 sebulan kepada bawah RM3,000 sebulan bagi memberi peluang lebih ramai penerima manfaat bantuan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 bertemakan, Selangor Mandiri: Memacu Kemajuan, Memicu Perpaduan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Jumaat.

Selain itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri juga akan meneruskan Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) dengan peruntukan tahunan sebanyak RM108 juta.  

Jelas beliau, BINGKAS akan menyalurkan bantuan RM300 setiap bulan melalui e-wallet kepada 30,000 keluarga yang layak.

"Ini bagi tujuan pembelian barangan dan keperluan asas termasuk peralatan pendidikan bagi anak-anak yang masih belajar bagi mengurangkan beban perbelanjaan sara hidup.

Dalam masa yang sama, beliau berkata sebanyak RM2 juta disalurkan bagi Program Rumah Kerajaan Prihatin.

Program berkenaan, ujar Amirudin diletakkan di bawah Portfolio Pembasmian Kemiskinan, yang merupakan salah satu daripada portfolio baharu yang diwujudkan.

"Fokus utama akan diberikan kepada permohonan bantuan baik pulih rumah bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat dibantu dan menerima manfaat dengan peruntukan sedia ada," katanya.