KUALA LUMPUR: Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor yang dimulakan sejak 2009 akan diteruskan pada 2024, dengan peruntukan sebanyak RM26.5 juta. 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Program Bantuan Sekolah berkenaan bagi membaik pulih infrastruktur sekolah dan membantu menyediakan persekitaran yang kondusif di negeri itu.

Jelas beliau, sejak ia diperkenalkan,  program itu telah menerima sambutan yang sangat tinggi daripada sekolah-sekolah di Selangor.

"Pada tahun ini sebagai contohnya sebanyak 988 buah sekolah telah diberikan bantuan. 

"Pada tahun 2024, sebanyak RM1.5 juta dari peruntukan tersebut akan diperuntukkan ke dalam Tabung Khas Pemulihan Bencana Infrastruktur Sekolah Negeri Selangor, yang disediakan khusus bagi membaikpulih infrastruktur sekolah yang terkesan akibat bencana. 

"Inisiatif ini yang turut telah dicadang kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, diharap boleh menjadi satu inisiatif rentas negeri-kementerian bagi memastikan persekitaran institusi sekolah dapat kembali pulih segera sekiranya terkesan bencana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 bertemakan, Selangor Mandiri: Memacu Kemajuan, Memicu Perpaduan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Jumaat.

Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri menyediakan sebanyak RM350,000 bagi memberi keutamaan kepada aspek pendidikan awal kanak-kanak, untuk kumpulan itu mendapat bimbingan dan penjagaan yang secukupnya terutamanya pada peringkat awal. 

Justeru itu, beliau menambah pada 2024, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Program Saringan Perkembangan kepada kanak-kanak berumur antara tiga dan lima tahun dalam kumpulan B40.

"Program ini adalah merupakan saringan awal bagi mengenalpasti tahap perkembangan kanak-kanak. Ia bagi mengenalpasti di peringkat awal ciri-ciri dan tahap  perkembangan kanak-kanak yang merupakan fasa penting untuk ibu bapa dan guru  mengenal pasti potensi kanak-kanak.

"Program saringan perkembangan kanak kanak ini adalah untuk mengetahui status perkembangan anak dalam lima bidang utama – Motor Kasar, Motor Halus, Pertuturan dan Bahasa, Perkembangan Kognitif
dan Tingkah Laku Sosial/Adaptif," ujarnya.