[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Belasah peniaga malam raya, pengawal keselamatan didenda RM3,000

Yasmin Natasha 10/04/2025 | 06:21 MYT
Dua tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan merusuh dengan memukul seorang lelaki pada malam Aidilfitri lalu.
AMPANG : Seorang pengawal keselamatan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merusuh dengan memukul seorang lelaki pada malam Aidilfitri lalu.
Majistret Amalina Basirah Md Top membuat keputusan itu selepas Mohd Zulfika Abdul Rahman, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, dia bersama-sama lapan lagi lelaki yang masih bebas adalah ahli kumpulan menyalahi undang-undang, yang ketika itu bertujuan untuk mencederakan seorang peniaga berusia 38 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Seri Keramat pada pukul 11.30 malam, 30 Mac lalu.
Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani mencadangkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran.
“Dalam kes ini, mangsa telah dicedarakan secara sengaja. Bukankah malam Aidilfitri sepatutnya menjadi malam yang gembira untuk semua pihak? Pengakuan salah bukan satu diskaun untuk pihak mahkamah memberikan hukuman yang ringan kepada tertuduh," ujarnya.
Bagaimanapun, peguam Wan Nur Afifah Che Bakar memohon hukuman denda minimum dengan alasan anak guamnya sudah berkahwin dan perlu menanggung dua anak yang salah seorangnya menghidap autisme.
“Anak guam saya hanya memperolehi pendapatan sebanyak RM1,800 sebulan. Dia juga memohon maaf dan insaf atas kesalahan yang dilakukan serta memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi lelaki, Muhammad Haziq Hezri,23, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang serupa di tempat dan masa yang sama.
Dia juga didakwa di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin serta tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa.
Peguam Wan Nur yang turut mewakili tertuduh memohon satu jaminan yang minimum dapat diberikan.
“Anak guam saya hanya bekerja membantu ibunya menjual makanan sejuk beku. Hari ini, ibunya sendiri hadir sebagai penjamin,” ujarnya lagi.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 serta syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan mendekati mangsa sehingga kes selesai dan menetapkan 16 Mei bagi sebutan semula kes.
Pada 31 Mac lalu, enam lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dalam kejadian pergaduhan antara dua kumpulan yang melibatkan 10 lelaki di Medan Seri Keramat, di sini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohd Azam Ismail berkata, kesemua warga tempatan berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan di pekarangan Balai Polis Hulu Kelang pada 2.30 pagi dengan dua daripada mereka didapati mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.
#kes gaduh #Malam raya #hukuman denda #mahkamah