MALAYSIA
Beli kunafa guna resit palsu, pempengaruh rugi lebih RM100,000
Tangkap layar laporan polis yang dibuat pempengaruh terbabit di Balai Polis Kota Kinabalu. - Foto Sinar Harian
KOTA KINABALU: Seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan melibatkan pemalsuan resit pembelian kunafa yang dijual oleh seorang pempengaruh sehingga menyebabkan kerugian melebihi RM100,000.
Wanita berusia 33 tahun itu ditahan pada Jumaat selepas pempengaruh yang juga usahawan terbabit membuat laporan polis apabila mengesan beberapa transaksi mencurigakan berkaitan pembelian kunafa di sebuah tapak festival di sini pada Khamis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Iyda Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu yang memaklumkan mengenai urus niaga mencurigakan di lokasi berkenaan.
“Menurut pengadu, pada jam 1.44 tengah hari Khamis, beliau telah dimaklumkan oleh kakitangannya mengenai beberapa transaksi mencurigakan daripada seorang pembantu beli-belah peribadi (personal shopper).
“Pengadu kemudian menahan wanita terbabit dan membuat semakan terhadap resit pembelian kunafa di gerai, sebelum mendapati ia adalah palsu.
“Hasil semakan lanjut, pengadu mendapati keseluruhan resit yang pernah digunakan bagi urus niaga itu melibatkan hampir 200 resit yang dipalsukan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Iyda berkata, susulan pendedahan tersebut, pengadu bertindak membuat laporan polis kerana merasakan dirinya telah ditipu oleh suspek yang menggunakan resit palsu bagi setiap transaksi pembelian.
“Hasil siasatan awal, suspek mengaku membuat resit palsu menggunakan telefon bimbit miliknya untuk menunjukkan seolah-olah pembayaran telah dilakukan bagi pembelian makanan tersebut.
“Suspek memaklumkan bahawa dia telah melakukan suntingan resit palsu tersebut sejak Ogos 2024 dan keseluruhan penipuan itu mengakibatkan kerugian sebanyak RM117,311,” katanya.
Tambah beliau, suspek kini ditahan reman bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.
Terdahulu, tular di media sosial seorang pempengaruh membuat laporan polis di Balai Polis Kota Kinabalu mendakwa berlaku penipuan dalam urus niaga kunafa semasa menyertai sebuah festival makanan di negeri ini. - Sinar Harian