MALAYSIA
Belia 4B Malaysia harap penetapan had umur 30 tahun belia diperhalusi semula

Media pada Khamis lepas melaporkan ketetapan had umur 30 tahun bagi belia di negara ini yang berkuat kuasa 1 Januari tahun depan tetap dilaksanakan selepas dua kali ditunda. - Gambar hiasan
MELAKA: Gerakan Belia 4B Malaysia berharap agar keputusan mengehadkan umur belia kepada 30 tahun dapat diperhalusi semula menerusi perbincangan terbuka bagi memastikan kesinambungan kepimpinan berkualiti dalam pertubuhan belia di seluruh negara.
Ringkasan AI
- Gerakan Belia 4B Malaysia berharap had umur belia kepada 30 tahun yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari depan dapat diperhalusi semula melalui dialog terbuka bersama Kementerian Belia dan Sukan bagi menjamin kesinambungan kepimpinan berkualiti dalam pertubuhan belia.
- Presidennya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali menegaskan bahawa pemimpin berusia 30 hingga 40 tahun memainkan peranan penting sebagai penghubung antara generasi muda dan penggubal dasar, serta memerlukan masa untuk dibangunkan dalam organisasi berskala besar.
- Beliau menyeru agar pelaksanaan dasar dilakukan secara berperingkat dan inklusif, dengan penyesuaian yang praktikal dan lestari agar manfaat terbaik dapat dinikmati oleh generasi muda.
Mohd Ridhwan yang juga Pengerusi World Youth Foundation berkata pemimpin dalam lingkungan usia 30 hingga 40 tahun memainkan peranan penting sebagai penghubung antara generasi muda dengan penggubal dasar negara kerana mereka memiliki pengalaman, rangkaian dan kapasiti kepimpinan yang telah diasah.
"Bagi pertubuhan berskala besar proses pembangunan pemimpin memerlukan masa. Jadi sekatan umur ini dikhuatiri akan menjejaskan kesinambungan serta daya tahan organisasi, terutama di peringkat akar umbi," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata isu tersebut telah dibincangkan sejak beberapa tahun lepas namun penyelesaian tuntas masih belum dicapai dan untuk itu beliau menyeru agar sebarang pelaksanaan dapat dilakukan sekurang-kurangnya secara berperingkat dan inklusif.
"Kami percaya kepada semangat kerjasama strategik antara pertubuhan belia dan KBS. Jika ada keperluan penyesuaian terhadap dasar, biarlah ia bersifat praktikal dan lestari. Apa yang penting, generasi muda mendapat manfaat terbaik daripada sebarang perubahan," katanya.
Media pada Khamis lepas melaporkan ketetapan had umur 30 tahun bagi belia di negara ini yang berkuat kuasa 1 Januari tahun depan tetap dilaksanakan selepas dua kali ditunda.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata pihaknya telah membuat penjelasan mengenai perkara itu menerusi beberapa sesi libat urus selain memberikan sokongan dana untuk membantu pelaksanaan transisi berkaitan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami