MALAYSIA

Belia perlu maklumat tepat inisiatif Kerajaan MADANI - Dr Wan Azizah

Bernama 21/09/2025 | 14:45 MYT
Dr Wan Azizah pada Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) hari ini. - Gambar Saifuddin Nasution Ismail
KLANG: Golongan belia perlu didedahkan dengan maklumat tepat mengenai inisiatif Kerajaan MADANI, khususnya program pembangunan diri agar aspek ekonomi dan sosial golongan itu dapat ditingkatkan.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata belia perlu bijak berfikir dan mampu menilai baik atau buruk sesuatu maklumat yang diterima.

Beliau berkata ia susulan isu kesahihan kini menjadi satu cabaran baharu dalam era digitalisasi khususnya selepas negara dilanda COVID-19.

"Kita mahukan sistem komunikasi lebih baik dan masih ada ruang untuk kita tambah baik. Ada pihak mendakwa tidak tahu mengenai bantuan daripada kerajaan sedangkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pergi keliling dunia demi pelaburan negara untuk manfaat rakyat.

"Lambakan maklumat tidak sahih akan menenggelamkan realiti sebenar kerajaan yang menyediakan pelbagai jenis bantuan antaranya kesihatan dan pendidikan sepertimana kita mahu anak-anak kita terdidik dan sihat," katanya ketika berucap mersmikan Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) di sini hari ini.

Dr Wan Azizah turut mengingatkan masyarakat terutamanya belia supaya beretika dan menjaga adab ketika mengutarakan pendapat menerusi ruang komen di media sosial.

Beliau berkata rakyat Malaysia perlu mengamalkan adat ketimuran walaupun dalam dunia maya dengan menggunakan bahasa yang sopan, positif serta profesional ketika saling berbalas komen menggunakan hujah masing-masing.

"Jangan buat komen negatif bagi hal-hal yang tak sesuai kerana kita perlu ingat nilai kita. Atasi perkara ini dengan penuhkan hidup dengan kebaikan dan sentiasa menggunakan bahasa yang elok.

"Belia sangat penting kerana mereka ialah masa depan negara. Contoh terbaik adalah Perdana Menteri pada hari ini yang sebenarnya telah berjuang membela rakyat daripada usia belia. Jadi saya percaya di depan saya ini akan ada seorang pemimpin yang berwibawa dan tidak mudah goyah dengan sebarang cubaan mengelirukan rakyat," katanya.

Beliau berkata bagi memastikan masa depan golongan belia terjamin merangkumi sudut pendidikan, institusi kekeluargaan di negara ini harus terus diperkasakan dan dihargai golongan muda.

Program NANBA anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) adalah inisiatif strategik menyantuni komuniti India khususnya golongan belia menerusi pelbagai pengisian antaranya Jualan Rahmah MADANI, Pertandingan Rona MADANI, kaunter perkhidmatan agensi kerajaan, pertandingan melukis henna, saringan kesihatan dan program imunisasi.

Turut hadir menyampaikan bantuan MyKasih kepada 300 penerima pada program hari ini ialah Ketua Pengarah JKOM Datuk Ismail Yusop dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa Dr Gunaraj George.

-- BERNAMA



#COVID-19 #media sosial #pendidikan #JKOM