Bella sudah pulih seperti sedia kala - PM

Sinar Harian
April 23, 2022 10:49 MYT
Ismail Sabri (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Bella ketika melakukan lawatan di rumah kebajikan di bawah seliaan JKM Negeri Sembilan pada Sabtu. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Kerajaan memutuskan untuk membentuk Jawatankuasa Kabinet Melindungi Kumpulan Rentan seperti kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan wanita bagi memastikan golongan berkenaan terus dilindungi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat sebagai penyelesaian tuntas susulan dakwaan berlaku pengabaian dan penganiayaan terhadap remaja Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali sebagai Bella ketika berada di sebuah rumah kebajikan.
“Hari ini saya bertemu Bella, Bella sudah pulih seperti sedia kala... berkeyakinan tinggi untuk bergaul dengan rakan-rakan.
“Terima kasih kepada kakitangan pusat jagaan di Seremban ini. Kes seperti Bella merupakan antara banyak kes yang mungkin berlaku tetapi tidak dilaporkan.
“Bukan sahaja isu penderaan tetapi juga isu anak yatim yang dihantar ke rumah anak yatim tidak mempunyai dokumen seperti sijil kelahiran dan lain-lain. Banyak pusat-pusat jagaan yang tidak didaftarkan dan menyukarkan pemantauan,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.
Dalam hantaran sama, Ismail Sabri turut berkongsi video beliau bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun melawat Bella.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan kerajaan mempertimbang untuk melakukan penstrukturan semula Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menambah baik agensi itu.
“Kerajaan akan melihat secara menyeluruh seperti pendaftaran pusat jagaan, mempermudahkan pendaftaran dan pindaan akta lapuk mengeluarkan sijil kelahiran malah termasuk penstrukturan semula JKM,” katanya.
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN
#rumah bonda #Bella #Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #Jabatan Kebajikan Masyarakat