Belum ada keputusan sama ada NIISe akan dibatalkan - Saifuddin Nasution

Bernama
Mac 11, 2023 15:52 MYT
Saifuddin berkata projek berkenaan telah berjalan hampir dua tahun dari tarikh mula diberikan kontrak iaitu pada Mac 2021 dan sepatutnya perlu disiapkan pada Ogos 2025. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk membatalkan kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang diperoleh IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan perkara itu ada dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini dan Kementerian dalam Negeri (KDN) diberi tempoh sehingga bulan depan untuk menyediakan dan mengemukakan nota kepada Jemaah Menteri yang memerlukan keputusan hala tuju mengenai projek ini.
"Setakat ini belum ada lagi keputusan (untuk batalkan kontrak syarikat). Benar mesyuarat Kabinet ada membincangkan dan ada saya mengangkat kertas nota kepada Jemaah Menteri untuk tujuan perbincangan (projek NIISe). Nota itu bermaksud pemakluman tentang kemajuan projek itu, manakala Memo Jemaah Menteri pula memerlukan keputusan dasar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) kali ke-29 dan ke-30 di Maktab Polis Diraja Malaysia di Cheras, di sini, hari ini.
Sebelum ini sebuah portal melaporkan bahawa Jemaah Menteri telah memutuskan untuk membatalkan projek NIISe yang diberikan kepada IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan menantu bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Laporan berkenaan yang memetik sumber menyatakan bahawa projek itu mengalami kelewatan dan hanya 10 peratus daripada projek itu siap walaupun telah ditawarkan pada 2020.
Menjelaskan perkara berkenaan, Saifuddin berkata projek berkenaan telah berjalan hampir dua tahun dari tarikh mula diberikan kontrak iaitu pada Mac 2021 dan sepatutnya perlu disiapkan pada Ogos 2025.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata sehingga Mac tahun ini, syarikat berkenaan masih belum mencapai tahap kemajuan projek seperti yang dijadualkan.
Justeru, beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab harus melaporkan kepada Jemaah Menteri kerana projek NIISe berkenaan menelan perbelanjaan hampir RM1.2 bilion.
"Sebagai menteri yang bertanggungjawab saya harus melindungi kepentingan pengguna iaitu Jabatan Imigresen bagi mengelakkan ia menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata KDN melalui Jabatan Imigresen amat mengharapkan kejayaan projek berkenaan untuk menggantikan sistem sedia ada yang telah berusia 20 tahun.
Sementara itu, diminta mengulas sama ada nota kepada Jemaah Menteri yang akan disediakan itu berkemungkinan ke arah tindakan untuk membatalkan kontrak syarikat berkaitan, beliau enggan mengulas lanjut.
"Saya tidak mahu spekulasikan atau membuat sebarang andaian terlebih dahulu tentang keputusan yang bakal dibuat kelak mengenai projek berkenaan.
"Hendak sebut batal atau terus, mudah tapi dia mesti ada asasnya dan asas itu mesti berpaksikan kepada apakah kayu ukurnya dan memerlukan satu indikator yang mana satu projek bersaiz besar begitu dia ada tempoh tahun pertama, kedua dan ketiga kemajuan yang dicapainya.
"Kita hendak teliti juga punca kelewatan sama ada disebabkan tenaga kerja atau kekangan modal. Maka hal ini, perlu diteliti KDN sebelum kami menentukan hala tujunya dalam bentuk keputusan Jemaah Menteri," katanya.
-- BERNAMA
#Imigresen #KDN #niise #Polis Diraja Malaysia