ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah berharap agar kerajaan Persekutuan membenarkan negeri itu menjadi pengeksport daun ketum yang sah ke negara Thailand terutama bagi tujuan perubatan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kebenaran itu akan memberi banyak manfaat kepada banyak pihak terutama kerajaan melalui kutipan cukai hasil daripada aktiviti mengeksport daun ketum.

Selain itu, kata beliau, komitmen dan sumber agensi-agensi penguatkuasaan di sempadan tanah air dalam membanteras penyeludupan daun ketum ke negara jiran juga dapat dikurangkan selain penumpuan dapat dilakukan pada tugasan-tugasan yang lain.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan bahawa Kedah bersedia untuk melantik mana-mana anak syarikat kerajaan untuk jadi agen tunggal di negeri itu dalam usaha menghimpunkan komuniti ketum.

Namun begitu, sekiranya ada keperluan meminda akta di Parlimen, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri bersedia untuk melaluinya.

“Kita jadi pengeksport secara sah dan kerajaan boleh mendapat cukai dan penguatkuasa tidak perlu tunggu, ligan (kejar) (penyeludup di) merata (tempat),

"Ia (adalah) untuk (tujuan) eksport (terutama dalam bidang perubatan) bukannya untuk masuk ke dalam badan secara tidak sah yang dinamakan 'cakoroi' itu,” kata beliau.

Menteri Besar berkata demikian dalam sidang media selepas menpengerusi Mensyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Cakoroi yang sangat terkenal dalam kalangan pengamal air ketum itu merupakan campuran pati ketum dengan bahan-bahan lain.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi memaklumkan, kualiti tanah yang ada di negeri Kedah merupakan yang terbaik terutama bagi proses pertumbuhan dan pembesaran spesis daun ketum khusus bagi tujuan perubatan yang diusahakan di negara Thailand ketika ini.

"Dikatakan (negeri) Kedah adalah tanah yang paling sesuai untuk pertumbuhan dan pembesaran spesis ketum paling baik untuk perubatan yang telah diusahakan di negara jiran, Thailand.

“Sekarang ini (negara mereka) buat pil untuk perubatan, minuman (juga) boleh dibeli di 'vending machine' (yang menjual) air ketum .

"Oleh kerana permintaan (daun ketum) yang tinggi, sekilogram ketum di sini (Kedah hanyalah berharga) RM30, (namun apabila) sampai di sempadan (atau) tempat proses di Thailand (boleh mencecah) RM150 sekilogram… ia begitu mahal, patutlah (ramai) orang 'pulun' (berusaha) seludup (daun ketum)," ujar beliau lagi.