Pengeluar, pembekal ataupun pembeli bahan kimia yang mengakibatkan pencemaran teruk di Sungai Kim Kim Pasir Gudang, Johor boleh dikenalpasti sebaik sahaja pakar-pakar forensik kimia menjalankan analisis terhadap sampel bahan kimia yang telah diambil di lokasi kejadian.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr Norazian Mohamed Noor berkata, identiti dalang dapat dikesan selepas bahan unik yang terdapat dalam kompaun kimia tersebut disahkan.

Berliau berkata lima bahan kimia yang telah dikenal pasti seperti Limonene, Benzene, Toulene, Xylene dan Ethylbenzene boleh dikaji dengan lebih terperinci bagi menjelaskan ciri-ciri istimewa kompaun tersebut, yang seterusnya membawa kepada pembongkaran identiti penjenayah.

“Pencemaran bahan kimia tersebut dipercayai berpunca daripada kawasan perindustrian yang berhampiran dengan Sungai Kim Kim dengan bilangan lebih 250 perindustrian.

“Meskipun bilangan perindustrian agak tinggi, namun apabila ciri bahan unik yang membezakan sesuatu bahan kimia telah dikenalpasti, proses menjejaki pelaku yang tidak bertanggungjawab itu akan menjadi lebih mudah,” katanya, pada Jumaat.

Terdahulu, Jabatan Alam Sekitar mengesan D-Limonene iaitu bahan kimia daripada proses penguraian tayar merupakan bahan utama yand terdapat dalam sampel air yang di ambil.

Mengulas lanjut, Norazian ketika dihubungi Astro AWANI pagi ini berkata dalam menjejaki penjenayah alam sekitar ini, pihak kerajaan melalui JAS juga telah mengambil sampel bahan kimia untuk dilakukan analisis sifat morfologi bagi mengenal pasti bentuk bahan berbahaya sama ada pepejal, cecair atau gas.

“Apa yang akan berlaku selepas ini, pakar-pakar forensik kimia akan mengenalpasti bahan-bahan unik yang terdapat dalam bahan kimia tersebut sebelum menjalankan profiling bahan.

“Profiling ini yang akan membawa kepada pelaku sebenar, dalam mudah pembuatan sabun misalnya adalah sama, tetapi ada ciri unik yang akan membezakan sabun berjenama X dan Y. Ini yang sebenarnya sedang dilakukan oleh pakar forensik.

“Kaedah ini akan memudahkan proses menjejaki pengeluar, pembekal dan pembeli bahan tersebut dan saya yakin mereka yang bertanggungjawab ini tidak akan dapat lari dari kesalahan yang telah dilakukan,” ujar beliau.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan tempoh masa yang akan diambil untuk mengesan penjenayah terbabit kerana ia bergantung kepada sejauhmana keputusan sampel analisis itu dapat disiapkan.

Pada Khamis, akhbar melaporkan pendakwaan terhadap suspek utama kes pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang masih belum dapat dilakukan hari ini disebabkan maklumat pertuduhan yang masih belum lengkap.