NATIONAL
Benda asing dalam bronkus, perut Zayn Rayyan disahkan daun pulai - Pegawai penyiasat
Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul, Zaim Ikhwan Zahari (kanan) dan Ismanira Abdul Manaf (dua, kiri) hadir bagi sambung bicara atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini. - Foto Bernama
PETALING JAYA: Pegawai penyiasat kanan kes kehilangan Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin bahawa, benda asing yang ditemui dalam bronkus dan perut kanak-kanak autistik itu ialah daun pulai.
Ringkasan AI
- Benda asing yang ditemui dalam bronkus dan perut Zayn Rayyan Abdul Matin ialah daun pulai, menurut laporan ahli kimia.
- Pokok pulai berada dalam anggaran 10 meter dari lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui, dan terdapat kesan lumpur pada kasut di rumah ibu bapanya.
- Pasangan suami isteri didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal, dan perbicaraan kes ini sedang berlangsung.
Perkara itu dimaklumkan Asisten Superintenden (ASP) Mohd Hafizee Ismail, 38, ketika prosiding perbicaraan kes pengabaian kanak-kanak membabitkan ibu bapa mangsa, Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf.
Semasa membaca pernyataan saksi, pegawai polis itu berkata, laporan tersebut diterima daripada seorang ahli kimia pada 8.55 malam, 12 Disember 2023.
Menurutnya, berdasarkan maklumat, siasatan mendapati pokok pulai itu berada dalam anggaran 10 meter dari lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui.
Sementara itu, menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, saksi ini berkata, dua spesimen dihantar kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis.
“Spesimen berkenaan ialah benda asing yang diambil daripada bronkus atau saluran pernafasan dan perutnya.
“Susulan itu, saya menerima 10 laporan daripada pihak berkenaan berdasarkan dua spesimen yang dihantar sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, pegawai polis yang kini bertugas sebagai Pegawai Risikan Operasi di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan itu berkata, semasa masuk ke rumah Zaim Ikhwan dan Ismanira, pada jam 11 malam, 7 Disember lalu, beliau terlihat sepasang kasut warna hitam.
“Terdapat kesan lumpur di sebelah peti ais di dalam bilik pertama di hadapan dapur.
“Saya kemudian arahkan pihak forensik untuk membuat tandaan dan arahkan jurufoto untuk mengambil gambar kasut tersebut untuk siasatan saya,” katanya yang ketika kejadian bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
Semasa siasatan dalam rumah tersebut juga, beliau telah merampas beberapa barang yang dipercayai boleh membantu dalam siasatan berkenaan.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian pada anak mereka, di Mahkamah Sesyen di sini.
Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokkannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.
Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Perbicaraan hari ke-17 di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh bersambung jam 2 petang. -- Sinar Harian