Bendera bintang pecah lima: Polis siasat pelbagai aspek - Muhyiddin

Bernama
November 27, 2019 13:36 MYT
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador ditemui selepas Sesi Pleno Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN berkaitan Jenayah Rentas Negara (AMMTC) Ke-13. - Foto BERNAMA
Polis menyiasat isu bendera Malaysia dengan bintang pecah lima daripada pelbagai aspek mengikut Kanun Keseksaan dan tindakan sewajarnya akan diambil, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata insiden paparan Jalur Gemilang yang hanya mempunyai lima bucu bintang itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia walaupun pihak penganjur telah memohon maaf.
"Kita tidak mahu hal ini terus berlaku dan dilakukan oleh sesiapa sekali pun.
"Pihak polis sedang menyiasat daripada beberapa sudut berdasarkan peruntukan (undang-undang) yang boleh diguna pakai... kita tunggu hasil siasatan dan tindakan sewajarnya boleh diambil," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Muhyiddin berada di sini kerana menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN berkaitan Jenayah Rentas Negara (AMMTC) ke-13.
Sejak Isnin, satu video berdurasi seminit 42 saat menunjukkan Jalur Gemilang dengan bintang pecah lima dipaparkan di skrin ketika majlis pembukaan Kejohanan Kebangsaan Bola Keranjang Piala Lum Mun Chak bawah 15 tahun anjuran MABA tular di media sosial.
Paparan bendera Malaysia yang silap itu ditayangkan ketika para hadirin sedang menyanyikan lagu Negaraku pada majlis pembukaan tersebut telah mendapat pelbagai kecaman dari netizen.
Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) memohon maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan memaparkan bendera Malaysia yang salah ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 itu.
BACA: 'Tolong maafkan kami' - MABA mohon maaf insiden bendera Malaysia lima bintang
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan menyifatkan inisiden itu 'sangat memalukan' dan kementeriannya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara itu sebelum memutuskan tindakan yang selanjutnya.
BACA: "Budak 5 tahun pun boleh tahu.." - Syed Saddiq tidak terima alasan tersilap bendera
Presiden MABA Datuk Lua Choon Han berkata pihaknya mengambil tanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan itu. Kontraktor produksi siaran langsung pembukaan kejohanan itu juga ditamatkan perkhidmatan setelah didapati cuai memaparkan Jalur Gemilang yang salah.
--BERNAMA
#bintang pecah lima #isu bendera Malaysia #Jalur Gemilang #Kejohanan Kebangsaan Bola Keranjang #lima bucu bintang #MABA #Persatuan Bola Keranjang Malaysia