[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Bukit Aman Ambil Alih Siasatan – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

Bendera terbalik: TPR semak kertas siasatan, rujuk ke Putrajaya

Bernama 11/08/2025 | 14:00 MYT
Anuar Abd Rahman berkata kertas siasatan itu dihantar ke pejabat TPR pada pukul 2.30 petang tadi selepas polis melengkapkan siasatan. - Gambar fail/Bernama
KEPALA BATAS: Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Pulau Pinang sedang menyemak kertas siasatan berhubung kejadian Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di hadapan sebuah kedai perkakasan di Jalan Bertam Perdana, di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Anuar Abd Rahman berkata kertas siasatan itu dihantar ke pejabat TPR pada pukul 2.30 petang tadi selepas polis melengkapkan siasatan.

"Kertas siasatan dirujuk kepada TPR untuk semakan dan dimaklumkan ia akan dibawa ke Putrajaya bagi mendapatkan arahan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, media melaporkan pemilik kedai berusia 59 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya direkodkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 21 saat memaparkan dua lelaki di sebuah kedai perkakasan yang didakwa sengaja memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik, mencetuskan kecaman warganet.

Susulan itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membuat laporan polis.

-- BERNAMA

#Jalur Gemilang #ADUN #media sosial #NGO