Husam turut bersetuju dengan pendirian Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin supaya laporan audit forensik ke atas 1MDB dilakukan secepat mungkin.
“Satu Kertas Putih hendaklah dibentangkan di Parlimen berkenaan isu 1MDB dan saya turut menyokong pendirian Muhyiddin agar laporan audit forensik dilakukan ke atas 1MDB dan semua anak syarikat atau usaha samanya dengan kadar segera,” kata Husam.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis berkenaan isu 1MDB yang dilaporkan di dalam sebuah artikel di majalah The Edge terbitan The Edge Communications Sdn Bhd keluaran 9 Mac-15 Mac 2015.
“Saya merujuk kepada artikel berkenaan (The Edge) di laporan utama muka depan dan pada muka surat 62, 63, 64 dan 65 majalah berkenaan mengenai perjalanan pelaburan 1MDB.
“Saya menggesa polis melakukan siasatan di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan untuk kesalahan jenayah pecah amanah,” katanya yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi petang tadi.
Husam menunjukkan laporan yang dikeluarkan The Edge berkaitan 1MDB. -Foto Astro AWANI
Artikel berjudul "Shahrol, please explain Good Star, the money 1MDB paid the company and why you took instructions from Jho Low" (Shahrol, sila perjelaskan Good Star, wang yang dibayar 1MDB kepada syarikat itu, dan kenapa kamu mengikut arahan Jho Low) itu mendakwa pembayaran sebanyak US$700 juta telah dibuat oleh 1MDB kepada Good Star Limited Seychelles.
Laporan itu turut menyatakan bahawa pembayaran telah dibuat oleh 1MDB pada 2009 dan 2010 berjumlah USD1 bilion (RM3.48 bilion) kepada 1MDB PetroSaudi Ltd yang didakwa dibuat tanpa persetujuan Lembaga 1MDB.
Laporan yang sama sebelum itu telah didedahkan oleh portal Sarawak Report baru-baru ini.
Pada 7 Mac, Muhyiddin menegaskan bahawa keputusan untuk mengesahkan akaun 1MDB oleh Ketua Audit Negara (AG) merupakan keputusan yang adil dan mengambil kira kepentingan umum.
Muhyiddin turut berkata bahawa dana awam tidak harus digunakan untuk menyelamat 1MDB dan menambah bahawa lembaga pengarah mesti bertanggungjawab terhadap salah laku yang dikesan.
Semalam juga, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata isu penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pengurusan 1MDB merupakan perkara yang tidak boleh dikompromi.
Tambah Ismail, parti tidak akan melindungi sesiapa jika ada salah laku dalam pengurusan 1MDB.
Beliau turut menambah bahawa pengauditan akaun yang dibuat pihak Deloitte Malaysia (ke atas 1MDB) bukan pengauditan biasa malah sampai ke peringkat pengauditan yang terperinci atau forensik.