Bentangkan garis panduan terperinci sebelum sekolah dibuka - ABIM

Nickyson Nyambar
Ogos 11, 2021 11:56 MYT
Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz mahu KPM tampil dengan garis panduan yang terperinci bukan sahaja buat pembukaan sekolah pada September depan, tetapi juga perancangan semasa pasca COVID-19 nanti. - Gambar fail/Facebook
KUALA LUMPUR : Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengeluarkan perancangan yang lebih terperinci meliputi garis panduan dalam pembukaan sesi persekolahan yang dijangka pada September depan.
Demikian tegas Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dalam kenyataannya pada Rabu. Menurut Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, perancangan itu penting bagi mendapatkan kepercayaan ibu bapa dan guru sebelum sekolah dibuka, lebih-lebih lagi ketika jumlah kes ketika ini semakin membimbangkan.
"Pihak KPM harus memastikan seluruh warga sekolah termasuk pengusaha kantin, pemandu bas dan ekosistem persekolahan diberikan keutamaan dan dipastikan mendapat dua dos penuh vaksin.
"Dalam pada itu, memandangkan Malaysia telah menutup sekolah (secara bersemuka) melebihi 35 minggu pada tahun 2020 dan mencecah lebih 20 minggu setakat ini untuk tahun 2021, hal ini telah memberi kesan besar kepada perjalanan pembelajaran anak murid.
"Maka, ABIM menegaskan bahawa terdapat keperluan untuk pihak KPM menyediakan satu perancangan dan dasar untuk pendidikan kebangsaan pasca COVID-19," katanya.
Jelas beliau, pihak KPM boleh menjadikan beberapa petunjuk seperti yang diamalkan di negara luar sebelum mengambil keputusan untuk melonggarkan sebarang kawalan.
"ABIM mengambil contoh amalan di negara luar yang menjadikan beberapa petunjuk sebagai kayu ukur antaranya termasuklah kadar vaksinasi, jumlah kes kematian dan jangkitan harian, statistik penggunaan katil hospital, serta kajian tentang kehadiran varian baharu sebelum sesuatu negara mengambil keputusan untuk melonggarkan sebarang kawalan," menurutnya lagi.
#pembukaan sekolah #SOP #garis panduan #KPM #pandemik #COVID-19 #ABIM #guru #varian baharu #penggunaan katil #sekolah #vaksin #Kementerian Pendidikan Malaysia #Malaysia