Berang cinta ditolak, warga Bangladesh toreh muka wanita tempatan

Afiezy Azaman
Februari 14, 2019 07:40 MYT
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din mengesahkan perkara itu dan telah menahan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan.
Berang kerana cinta ditolak, seorang lelaki warga Bangladesh bertindak menoreh muka wanita tempatan berusia 24 tahun, pada 7 Februari lalu.
Mangsa cedera di muka dengan kesan koyakan lebih lima sentimeter dari bibir hingga ke pipi kanan selepas dikelar dengan objek tajam oleh lelaki itu.
Susulan kejadian itu, mangsa dikejarkan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi mendapatkan rawatan sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din mengesahkan perkara itu dan telah menahan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan mendapati suspek cemburu dan mendakwa dirinya merupakan bekas kekasih wanita berkenaan.
“Suspek direman selama tujuh hari sehingga Jumaat bagi melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
#bekas kekasih #kelar #Mohd Zani Che Din #Petaling Jaya #polis #reman #toreh #Wanita tempatan #warga Bangladesh