AMPANG JAYA: Gara-gara berang akibat tidak dibantu untuk mengangkat tong gas, seorang lelaki bertindak mengacukan pistol mainan sebelum membelasah penghantar barang Lalamove dengan topi keledar, di Taman Putra Ampang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, suspek turut merosakkan motosikal milik mangsa.

"Berdasarkan siasatan, polis mendapati mangsa terserempak dengan seorang lelaki yang hampir jatuh bersama tong gas dan meminta tolong.

"Justeru, mangsa membantu suspek namun tidak dapat memenuhi permintaan lelaki itu untuk meletakkan tong gas tersebut di atas motosikal kerana mangsa bertaraf orang kurang upaya (OKU) yang mempunyai masalah tulang belakang.

"Tidak puas hati dengan mangsa, suspek cuba menggertak dengan mengacukan pistol mainan, namun mangsa dapat merebut pistol mainan itu dan membuangnya.

"Suspek kemudian menyerang mangsa dengan topi keledar sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di dahi," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Isnin.

Susulan kejadian, polis menahan suspek di Kampung Tasik Permai Ampang, di sini, kira-kira jam 4.20 petang, semalam.

Berdasarkan semakan, beliau memberitahu, lelaki itu mempunyai dua rekod jenayah lampau dan ujian air kencing dijalankan mendapati suspek negatif dadah.

"Kita menahan reman lelaki itu untuk empat hari bermula 28 April untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya.

Beliau memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan.