BENTONG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mula mengadakan jualan beras import pada harga Rahmah, di setiap program Jualan Rahmah di seluruh negara.

Pemangku Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali berkata bermula semalam, pengguna boleh mendapatkan beras import 5 kilogram (kg) pada harga tidak melebihi RM15 dan kampit 10kg pada harga di bawah RM30, di mana-mana program Jualan Rahmah di kawasan mereka.

Beliau berkata perkara berkenaan dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL), dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis, sebagai satu langkah mitigasi bagi menangani gangguan sementara bekalan beras tempatan dan kenaikan harga beras import.

"Harga beras import yang ditawarkan itu lebih murah daripada apa dijual di pasaran, iaitu biasanya pada harga RM35 hingga RM40 dan lebih, bagi sektor peruncitan.

"Ini usaha kita lakukan untuk membantu KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan), menangani isu kekurangan bekalan beras tempatan dan peningkatan harga beras import di pasaran, ini langkah jangka pendek, kita percaya KPKM ada perancangan penyelesaian jangka sederhana dan panjang," katanya.

Armizan berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan tinjauan di Program Jualan Rahmah, di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Dataran Simpang Pelangai di sini semalam, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang Sim Chon Siang.

Beliau berkata keputusan mengadakan jualan beras import pada harga Rahmah di Jualan Rahmah, diambil bagi mengelakkan program itu yang diadakan di seluruh kawasan DUN di seluruh negara, menggangu bekalan beras tempatan di pasaran.

"Jadi biar kita ambil beras import tapi kita jual pada harga Rahmah, kita tak nak ganggu atau berlaku dan bertambah gangguan bekalan beras tempatan di sektor runcit," katanya.

Armizan berkata pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif NACCOL yang dipengerusikannya pada Rabu, beliau telah mengutarakan cadangan berkaitan perluasan penguatkuasaan kepada penguat kuasa KPDN dalam hal berkaitan beras, bagi membantu usaha menangani isu bekalan. 

"Kita berpandangan wajar cadangan ini dipertimbangkan, kita mahu bantu (tangani isu beras), (namun) sebarang keputusan berkaitan itu akan diputuskan KPKM," katanya.

-- BERNAMA