Berat pesawat terhempas di Klang melebihi had maksimum berlepas - BSKU

Astro Awani
Mac 13, 2024 07:57 MYT
Laporan akhir akan disiapkan dan disebarkan secara umum dalam tempoh 12 bulan dari tarikh kemalangan.
KUALA LUMPUR: Pesawat yang terhempas di Kapar, Klang pada 13 Februari lalu, didapati mempunyai berat melebihi had berat maksimum ketika berlepas.
Selain itu, siasatan turut mendapati, aktiviti penyelenggaraan pesawat itu tidak teratur.
Bagaimanapun, siasatan mendapati, juruterbang pesawat itu telah dilesenkan dengan betul dan layak untuk melakukan penerbangan, selain pesawat mempunyai pensijilan kelayakan udara yang sah.
Perkara itu didedahkan dalam laporan awal siasatan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan (MOT) yang dikeluarkan hari ini.
BACA: Pesawat terhempas di Klang: Apa yang anda perlu tahu
Menurut MOT, laporan akhir akan disiapkan dan disebarkan secara umum dalam tempoh 12 bulan dari tarikh kemalangan mengikut Annex 13 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa1 Siasatan Kemalangan dan Insiden Pesawat (ICAO Annex 13).
Laporan awal penuh boleh didapati dengan melayari pautan https://www.mot.gov.my/en/AAIB/report/a03-24.
Dalam insiden tersebut, juruterbang Daniel Yee Hsiang Khoon dan pembantu juruterbang Roshaan Singh Raina maut dengan kedua-dua mereka dipercayai terbenam bersama bahagian kokpit pesawat di kawasan ladang kelapa sawit.
Pesawat Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 1.28 tengah hari untuk penerbangan rekreasi.
Siasatan BSKU masih berterusan untuk menentukan sebab dan faktor-faktor penyumbang yang menyebabkan kemalangan berkenaan.
#pesawat terhempas #Klang #punca kejadian #hasil siasatan #BSKU