KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan kerajaan supaya memberi tekanan kepada syarikat telekomunikasi untuk memastikan rangkaian internet diperluas dan diperhebat.

Menurutnya, ketika Malaysia kini sedang berdebat berhubung isu teknologi 5G, masih lagi terdapat kawasan yang hanya ada teknologi 3G dan 4G yang tidak begitu baik.

“Ramai rakyat di kawasan saya dan juga mungkin di kawasan YB (Tan Sri Annuar Musa) ... yang sering kita lihat, kita debat berkenaan 5G ialah kosnya sedangkan di rumah, rakyat masih menggunakan rangkaian 3G, 4G yang putus-putus.

“Sambil saya berucap, ada seorang rakyat kawasan saya menghantar mesej, menurutnya tiada rangkaian Unifi sampai sekarang, selepas bertahun, masih belum dapat. Rumah rakyat ini sangat dekat dengan rumah saya di Muar, lima minit saja, tetapi tiada rangkaian Unifi.

BACA: Teknologi 5G: DNB tidak guna dana kerajaan - Annuar

“Saya berharap tekanan dapat diperhebatkan kepada syarikat telekomunikasi di Malaysia,” katanya ketika mencelah semasa sesi Penggulungan Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Dewan Rakyat pada Rabu.



Penyedia 5G | DNB tidak seperti 1MDB, tiada dana kerajaan

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa ketika menyambung penggulungan mengakui bahawa kedudukan rangkaian di Malaysia tidak merata, masih ada lokasi yang rangkaiannya tidak begitu berkualiti.

“Mungkin ramai di kalangan masyarakat tidak faham bagaimana mekanisme ini terjadi. Walaupun sesuatu kawasan itu ada rangkaian dengan kelajuan tertentu tapi pengalaman mereka bergantung kepada situasi pada satu-satu masa.

“Misalnya kalau kita pergi Melaka sekarang, setiap tempat di Melaka itu hadapi pengalaman yang tidak memuaskan. Kebetulan bila buka rentas sempadan, pelancong ramai dan banyak yang gunakan rangkaian.

“Sekolah juga dengan sistem selang-seli, kemudian berlaku pula pilihan raya. Bila penggunaan serentak, pengalaman kita hadapi dalam keadaan normal mungkin baik tapi sekarang sudah jadi tidak baik,” ujarnya.

Begitupun, katanya, kerajaan akan memantau situasi tersebut dan cuba mengatasinya pada masa akan datang