PETALING JAYA: Gara-gara cinta tidak direstui keluarga, seramai tiga lelaki dan tiga wanita warga tempatan ditahan kerana bergaduh di pekarangan Balai Polis Komuniti di Kelana Jaya di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian pada jam 3.25 petang tersebut anggota bertugas cuba meleraikan pergaduhan berkenaan namun tidak diendahkan kesemua suspek terbabit.

"Justeru, polis menahan kesemua suspek kerana melakukan gaduh gempar di tempat awam dan berkelakuan tidak senonoh di kawasan balai polis.

"Bagaimanapun, kesemua mereka dilepaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967.

Mohamad Fakhrudin turut mengingatkan orang ramai supaya menjaga tingkah laku semasa berada di balai polis dan mematuhi arahan anggota bertugas.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.