Berhenti cakap politik, buat kerja, pesan Kadir Jasin pada menteri

Astro Awani
Ogos 1, 2019 08:04 MYT
Kadir berpesan pada menteri-menteri Kabinet sekiranya ada dalam kalangan mereka yang terdorong untuk menghasilkan sebuah video, pastikan penerbitan itu sesuai untuk tontonan umum. - Gambar fail
BERHENTI daripada bercakap mengenai soal politik, sebaliknya beri tumpuan pada isu-isu rakyat, pembangunan negara serta bagaimana mahu membantu kerajaan menyelesaikan hutang, pesan wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin.
Dalam masa sama, Kadir menasihatkan menteri-menteri Kabinet jangan berasa terlalu selesa selain meningkatkan lagi usaha menambah baik mutu kerja mereka.
Apa lagi, tegas Kadir, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah berkali-kali mengulangi kenyataan bahawa tidak akan berlaku rombakan Kabinet selain akan merealisasikan janjinya untuk menyerahkan jawatannya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila sampai masanya kelak.
"Namun begitu, menteri-menteri tidak patut berasa terlalu selesa dan harus meningkatkan lagi usaha menambahbaik mutu kerja mereka.
"Mungkin ini cara Tun untuk memberi amaran kepada mereka, bahawa terdapatnya kemungkinan untuk mereka dibuang sekiranya beliau tidak lagi berada dalam pucuk kepimpinan," kata Kadir dalam catatannya di blog peribadinya, The Scribe pada Khamis.
Dalam catatan itu juga, Kadir turut menitipkan pesanan sekiranya terdapat mana-mana menteri yang terdorong untuk menghasilkan sebuah video, pastikan penerbitan itu sesuai untuk tontonan umum.
Bercakap mengenai video, Kadir menarik perhatian mengenai bagaimana kontroversi video intim yang mengaitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Kata beliau, video intim itu telah mendapat tempat di platform yang lebih besar terutamanya di media sosial termasuk di saluran YouTube.
"Video skandal itu seakan-akan bernyawa dalam dunia politik yang sarat dengan komplot dan konspirasi.
"Ia akan menghantui mereka yang terlibat sepanjang hidup mereka, tidak kira pihak yang mengaku, yang menafikan mahupun yang memulakan skandal tersebut," tegas Tokoh Wartawan Negara itu lagi.
BACA: Peralihan kuasa akan berlaku dalam tempoh dua tahun - Kadir Jasin
#A Kadir Jasin #Abdul Hadi Awang #agenda #Anwar Ibrahim #Azmin Ali #ekonomi #kabinet #Mahathir Mohamad #Malaysia #menteri #Pakatan Harapan #PAS #pendapat #Perdana Menteri #politik #Sandakan #video