Tiada keperluan untuk kerajaan dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi pencelah kerana siasatan berkenaan laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) masih berjalan.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, buat masa ini kerajaan tidak akan memberi fokus mengenai isu itu sahaja kerana isu semasa negara juga memerlukan perhatian.

"Kita harus pastikan bahawa siasatan itu dapat diselesaikan secepatnya. Sementara menunggu ia berjalan, perkara lain juga kena beri perhatian; jangan terlalu taksub dengan isu tersebut.

"Seperti yang dimaklumkan Peguam Negara Amerika Syarikat, mereka sedang melakukan penyiasatan dan tanggungjawab kita untuk menunggu.

"Kita takkan melindungi sesiapa pun. Kalau didapati bersalah, individu tersebut harus dihukum," katanya ketika ditemui selepas majlis rumah terbuka kementeriannya pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas permintaan PAS agar kerajaan Malaysia dan 1MDB memohon sebagai pencelah kepada DOJ.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata kerajaan dan 1MDB mempunyai kepentingan dalam perkara berkenaan kerana ia disebut oleh DOJ dalam saman sivilnya yang dikemukakan pada 20 Januari lalu.

Pada masa sama, Datuk Seri Salleh berkata beliau melihat gesaan pembangkang agar perdana menteri meletak jawatan sebagai satu sikap berat sebelah dan tidak adil sama sekali ketika ini.

"Gesaan itu kita lihat sebagai satu 'double standard'. Bila berlaku kes dakwaan ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, mereka tidak minta pula ketua menteri letak jawatan.

"Bila jadi kes seperti laporan DOJ ini, mereka tak kisah betul atau tak betul, sedangkan perdana menteri tidak dikaitkan dalam hal ini, mereka kata kena letak jawatan.

"Ini double standard, rakyat kena tengok perbezaan pendekatan ini," katanya.