MALAYSIA

AS beri pertimbangan khusus kepada rundingan tarif semikonduktor - Liew

Bernama 30/10/2025 | 08:50 MYT
Liew berkata, tarif berkaitan semikonduktor merupakan tarif sektoral yang tidak termasuk di bawah perjanjian ART yang dimeterai Malaysia-AS baru-baru ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sektor semikonduktor negara akan diberikan pertimbangan khusus oleh Amerika Syarikat (AS) dalam rundingan tarif di bawah Seksyen 232, Akta Perluasan Perdagangan 1962 AS, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata tarif berkaitan semikonduktor merupakan tarif sektoral yang tidak termasuk di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai Malaysia-AS baru-baru ini.

"Dalam perjanjian ART tidak termasuk isu tarif sektoral...semikonduktor termasuk dalam seksyen 232 yang akan dipertimbangkan oleh Setiausaha Perdagangan AS.

"Apa yang telah dirundingkan adalah dengan Wakil Perdagangan AS (USTR)," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) berhubung impak perjanjian perdagangan itu terhadap sektor semikonduktor.

Dalam pada itu, menjawab soalan berasingan Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berhubung isu halal susulan Perjanjian ART Malaysia,AS, Liew berkata proses kelulusan pengimportan produk halal dari AS adalah kekal seperti sedia ada di bawah perjanjian itu.

Katanya ia perlu mematuhi keperluan standard halal Malaysia dan Akta Perihal Dagangan (Perintah Perihal Dagangan Perakuan dan Penandaan Halal 2011) bagi tujuan perdagangan dalam Malaysia.

"Peraturan tersebut menetapkan hanya produk halal yang mendapat pengesahan halal dari badan pensijilan halal AS yang telah diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan memenuhi keperluan halal Malaysia sahaja akan diperakukan dan dibenarkan bagi tujuan eksport ke Malaysia," katanya.

-- BERNAMA

#perjanjian perdagangan #Amerika Syarikat #Malaysia #semikonduktor