Berita pemecatan Pengerusi PNB palsu

Sinar Harian
Jun 23, 2018 11:03 MYT
Sinar Harian menafikan telah menerbitkan berita berkaitan pemecatan Tan Sri Abdul Wahid Omar. -Gambar fail/Bernama
Sinar Harian menafikan telah menerbitkan berita berkaitan pemecatan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Berita palsu yang tersebar di media sosial seperti Facebook menyatakan Abdul Wahid telah dipecat daripada PNB serta merta tanpa diberikan penjelasan.
Berdasarkan penelitian tera air atau watermark pada gambar tersebut adalah versi lama dan tidak lagi digunakan di portal Sinar Harian dalam menyiarkan berita.
Begitu juga dengan bentuk dan saiz tulisan pada berita palsu itu juga tidak digunakan seperti kebiasaan berita kami.
Khamis lalu, Sinar Harian menyiarkan berita Abdul Wahid bersedia melepaskan posisinya sekiranya kerajaan Pakatan Harapan mahu beliau berbuat demikian.
Katanya, kesediaan beliau mengosongkan kedudukan itu bukanlah akibat tekanan dari mana-mana pihak.
Justeru orang ramai dinasihati menyemak kesahihan berita sebelum berkongsi dan menularkan ke medium media sosial.
#Abdul Wahid Omar #berita palsu #kesahihan berita #media sosial #Pengerusi Permodalan Nasional Berhad #PNB #Sinar Harian