Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Ogos 23, 2021 15:59 MYT
Ogos 23, 2021 15:59 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 23 Ogos 2021.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah individu yang telah melengkapkan suntikan dua dos vaksin COVID-19 agar tidak mengambil mudah dan berasakan diri mereka kebal daripada jangkitan wabak itu.
Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita apabila masih ramai dalam kalangan ahli politik dan penjawat awam yang terlibat dengan amalan rasuah, biarpun sudah berkali-kali diberi peringatan.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bertitah kakitangan awam termasuk golongan guru perlu memahami betapa pentingnya pengambilan vaksin untuk melindungi diri, keluarga, serta masyarakat.
Jasad mangsa tragedi kepala air dan banjir lumpur di kaki Gunung Jerai yang dikenal pasti sebagai Ridwan Poniman, 61, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Unit Storm dan Must Team Bomba, hari ini.
Melihat ketidakseimbangan politik yang dijangka berlarutan sehingga menjejaskan hala tuju negara pada saat genting krisis pandemik, ahli-ahli politik digesa agar melaksanakan 'moratorium politik' secara total.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menggesa undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob segera dilakukan di Parlimen.
Jangkitan COVID-19 dalam negara menunjukkan penurunan dalam tempoh 24 jam yang lalu apabila 17,672 kes direkodkan.
Selepas tular kisah seorang anggota tentera yang dipecat selepas enggan menerima vaksin, Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi satu kenyataan media dikeluarkan Sel Perhubungan Raya Tentera Darat pada Isnin menegaskan setiap anggota TDM diwajibkan mengambil vaksin.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa bekas CEO 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman seharusnya dimasukkan ke dalam penjara atas pertuduhan kes pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram dan bukannya Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan telah meletak jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Keputusan itu dibuat selaras dengan pelantikan Perdana Menteri baharu dan permintaan rakyat untuk memastikan kerjasama pelbagai pihak.