MALAYSIA

Berita Terkini ASEAN25: Afrika Selatan anggap Malaysia seperti rumah sendiri

Khalis Khadir 25/10/2025 | 23:00 MYT
Anwar bersalaman dengan Ramaphosa selepas sidang media susulan pertemuan dua hala di Kompleks Seri Perdana, Putarajaya, 25 Okt 2025. -- fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: “Apabila kami datang ke Malaysia, ia seperti pulang ke rumah kami sendiri.”

Demikian luahan Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa ketika menggambarkan hubungan erat antara kedua-dua negara, yang menurutnya penuh bersejarah apabila sudah terjalin sejak lebih 300 tahun lalu.

Ramaphosa berkata, Malaysia bukan sekadar rakan diplomatik, sebaliknya tanah yang mempunyai pertalian sejarah dan keturunan dengan sebahagian rakyat Afrika Selatan, khususnya komuniti Cape Malay yang berasal daripada rantau ini.

“Hubungan antara kedua-dua negara kita tidak bermula semasa perjuangan menentang aparteid, tetapi lebih 300 tahun yang lalu. Bangsa kita diikat oleh pertalian darah serta semangat bersama menentang kezaliman perhambaan dan penjajahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan rasminya ke Malaysia untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di sini, pada Sabtu.

Ramaphosa turut berkongsi kisah seorang bekas menteri di Afrika Selatan yang kini menulis buku mengenai asal usul keluarganya yang merupakan keturunan dari rantau Melayu.

Namun, berdepan dengan era penjajahan, keluarganya itu dibawa ke Afrika Selatan untuk berkhidmat sebagai hamba.

“Jadi apabila kami datang ke Malaysia, walaupun ada kenangan sedih, tetapi ia tetap seperti pulang ke rumah,” katanya lagi dengan nada sebak.

Dalam masa sama, Ramaphosa turut memuji keindahan Malaysia yang disifatkan beliau seperti seindah negara sendiri, selepas tiba buat kali pertama di negara ini bagi lawatan rasmi.

“Saya kini melihat Afrika Selatan mempunyai saingan, Malaysia juga indah,” katanya dalam nada seloroh.

Ramaphosa berkata, beliau amat tersentuh dengan sambutan mesra yang diterima, termasuk sambutan daripada pelajar sekolah dan universiti.

“Kami jarang menerima sambutan besar seperti Malaysia berikan ini, bukan sahaja daripada para menteri dan pegawai kanan, tetapi juga daripada anak muda di sekolah dan universiti. Jujur, ia benar-benar menyentuh hati kami,” ujarnya.







#Afrika Selatan #Anwar Ibrahim #ASEAN25 #Cyril Ramaphosa