Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Berita Terkini ASEAN25: Aksi spontan PM Kemboja, PM Thailand sewaktu deklarasi perjanjian damai curi perhatian

Astro Awani 26/10/2025 | 08:49 MYT
Momen itu menjadi perhatian dan menunjukkan suasana mesra di tengah-tengah perbincangan rasmi bagi keamanan dan kerjasama serantau. - Reuters
KUALA LUMPUR: Dalam sesi menandatangani deklarasi gencatan senjata dan penubuhan pasukan pemerhati ASEAN, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dilihat berkongsi detik santai dan spontan yang menarik perhatian media.

Manet pada awalnya duduk bersebelahan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, namun beliau bangun untuk bertukar tempat duduk dengan Anutin, yang duduk bersebelahan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menyedari aturan duduk mereka berubah, Anutin pula menukar letakan tanda nama negara di hadapan meja untuk disesuaikan dengan kedudukan mereka, disambut dengan ketawa para hadirin dan petugas media.



Pertukaran itu dipercayai bertujuan untuk memudahkan urusan penandatanganan dan pertukaran dokumen secara lancar.

Momen ringan antara kedua-dua pemimpin itu menjadi perhatian dan menunjukkan suasana mesra di tengah-tengah perbincangan rasmi yang penting bagi keamanan dan kerjasama serantau.

Konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja kembali memuncak pada 2025, berpunca daripada pertikaian berpanjangan berhubung kawasan sekitar Kuil Preah Vihear dan beberapa tapak warisan lain di sempadan pergunungan Dângrêk.

Bagaimanapun, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dipengerusikan Malaysia menjadi titik tolak kepada langkah memuktamadkan perjanjian damai, termasuk penarikan senjata berat dan penubuhan pasukan pemerhati sempadan ASEAN.




#Anutin Charnvirakul #Hun Manet #Kemboja #Thailand #asean summit 20205 #Sidang Kemuncak ASEAN