Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Berita Terkini ASEAN25: Anwar adakan pertemuan ringkas dengan Trump

Bernama 27/10/2025 | 06:00 MYT
Trump hadir di Kuala Lumpur semalam untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan. - Foto FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan ringkas dengan Donald Trump sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS) itu berlepas ke Tokyo, Jepun.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertemu Donald Trump sebelum Presiden AS berlepas ke Tokyo, membincangkan semula kerjasama dua hala dalam perdagangan, teknologi dan keselamatan serantau.
  • Anwar ucap penghargaan kepada Trump atas peranan penting dalam Perjanjian Damai KL dan Pelan Damai Gaza yang membawa harapan kepada keamanan berkekalan.
  • Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur berjaya menghimpunkan pemimpin serantau dan global untuk membincangkan isu keamanan, ekonomi dan integrasi serantau.


Anwar berkata pertemuan itu memberi peluang untuk meneliti semula hasil perbincangan dua hala Malaysia-AS yang diadakan sebelum ini, termasuk kerjasama strategik dalam bidang perdagangan, teknologi dan keselamatan serantau.

"Saya turut menyampaikan penghargaan kepada Presiden Trump atas peranannya yang penting dalam Perjanjian Damai KL (KL Accord) dan Pelan Damai Gaza, yang kedua-duanya memberi sinar harapan bagi mencapai keamanan yang adil dan berkekalan," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Trump, yang tiba di Kuala Lumpur semalam untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, turut mengadakan beberapa mesyuarat bilateral dengan pemimpin serantau.



SEMUA ARTIKEL DAN VIDEO BERHUBUNG ASEAN25 DI SINI

Presiden AS itu juga menyaksikan majlis menandatangani perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja, bertujuan menyelesaikan pertikaian sempadan yang berlarutan selama beberapa dekad.

Sidang kemuncak anjuran Malaysia bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan" itu menumpukan kepada usaha memperkukuh integrasi serantau, memperdalam kerjasama ekonomi serta menangani cabaran global, termasuk isu keamanan dan keselamatan di rantau Asia-Pasifik.

-- BERNAMA



#ASEAN25 #Anwar Ibrahim #Donald Trump #sidang kemuncak #terkini